Dr. Wan Azizah Wan Ismail

PUTRAJAYA – Seramai empat daripada 19 individu yang dijangkiti wabak kononavirus (COVID-19) telah dibenarkan pulang hari ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ini menjadikan jumlah kes COVID-19 yang telah sembuh dan dibenar pulang adalah sebanyak tujuh daripada 19 individu.

“Keempat-empat individu ini merupakan kontak rapat kepada kes pertama yang dilaporkan di Singapura, dan telah dimaklumkan melalui International Health Regulation (IHR) Focal Point Malaysia.

“Mereka ini telah dikesan dan dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh pada 24 Januari 2020 dan telah dilaporkan positif COVID-19.

“Mereka disahkan sembuh sepenuhnya dan telah dibenarkan pulang setelah ujian pengesanan ulangan COVID-19 yang dijalankan menunjukkan hasil ujian sebanyak dua kali berturut-turut didapati negatif,” katanya pada sidang media di Perdana Putra, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Azizah juga mengesahkan bahawa sehingga hari ini, tiada pertambahan kes COVID-19 baharu dilaporkan

“Ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 19 kes.

“Sembilan kes dalam kalangan kes Patient-Under-Investigation (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat dan dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan,” katanya.

Menurut Wan Azizah lagi, daripada jumlah tersebut, seramai 13 individu adalah warganegara China dan enam yang lain adalah warganegara Malaysia.

Sementara itu, Wan Azizah juga berkata, selepas perubahan definisi COVID-19 dibuat, berlaku peningkatan mendadak jumlah kes wabak itu bagi Wilayah Hubei, China.

“Walau bagaimanapun menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah pesakit yang disahkan positif COVID-19 di luar negara China tidak menunjukkan peningkatan kes yang mendadak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette