Ahmad Marzuk Shaary

KUALA LUMPUR –Pencapaian Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2019 tidak mencerminkan realiti sebenar yang berlaku, dakwa Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary.

Dakwa beliau, meskipun kedudukan Malaysia dalam CPI 2019 itu melonjak 10 anak tangga dari kedudukan ke-61 tahun 2018 kepada ke-51 pada tahun 2019 namun persepsi masyarakat terhadap amalan rasuah melibatkan pihak penguatkuasa diyakini masih tinggi.

Tambahan pula, katanya, banyak laporan salah laku dan rasuah didedahkan di media mutakhir ini.

“Terbaharu, pendedahan rasuah dalam kalangan penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang dan syarikat logistik di sebuah portal media minggu ini.

“Sebelum itu, kita dikejutkan dengan pemalsuan dokumen MyKad di Pulau Pinang.

“Malah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga mendedahkan akhir tahun lalu, risiko rasuah paling tinggi berlaku di pintu sempadan negara melibatkan pihak penguatkuasa bertugas mengawal aktiviti penyeludupan,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Katanya, beliau melihat sistem agensi dan usaha yang dilakukan untuk membanteras rasuah sudah banyak diwujudkan.

“Di Persekutuan sahaja, kita mempunyai SPRM, Pelan Anti Rasuah Nasional 2019-2023 yang menggantikan Pelan Integriti Nasional, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) dan cadangan terbaru awal bulan ini iaitu Jawatankuasa Aduan,” katanya.

Menurut Ahmad Marzuk, ia bukan hanya sistem dan struktural, tapi ia perlu menjangkau kepada budaya kerja yang mesti berasaskan kepada sifat ketakwaan, ihsan dan amanah.

Jelas beliau, perkara itu perlu disuburkan bagi mewujudkan persekitaran dan jiwa beragama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast