Pemilik syarikat Sarana Kencana Sdn Bhd (SKSB) Datuk Abu Hanifah Noordin gagal mengawal emosi dan menangis semasa memberi keterangan berhubung pemberian kontrak projek pembekalan cip pasport kepada syarikatnya dalam perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Ahmad Zahid sebelum itu bertanyakan Abu Hanifah, 69, saksi pendakwaan ke-32, mengenai kelebihan SKSB berbanding syarikat lain sehingga membolehkan kerajaan menawarkan kontrak tersebut.

Saksi itu, juga Pengarah Datasonic Teknologi Sdn Bhd (DTSB), berkata syarikatnya adalah antara yang terbaik dan menawarkan harga berpatutan dalam membekalkan cip pasport meskipun terdapat beberapa syarikat lain yang boleh membekalkan barangan sama.

“Kami (DTSB) berbangga dengan apa yang kami lakukan dengan menawarkan harga termurah dan khidmat terbaik, meskipun apa yang diucapkan oleh pegawai kerajaan (dalam perbicaraan semalam), adalah khabar angin dilemparkan kepada kami.