Nasrul Ali Hasan Abdul Latif
Nasrul Ali Hasan Abdul Latif

KUALA LUMPUR – Keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam memperkasakan Bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan rasminya sebagai tepat.

Sambil menyifatkan, keputusan itu langkah berani Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Khairul Adib Abd. Rahman, Pergerakan Wira Putra Malaysia berkata, ia selari dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, iaitu bahasa kebangsaan harus digunakan untuk semua acara rasmi.

Menurut Ketua penaja pergerakan itu, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif, memartabatkan BM tidak akan menghilangkan identiti etnik sesuatu kaum sebaliknya menentukan identiti sebenar bangsa Malaysia sejati yang setia kepada negara.

“Kita puji ketegasan Mohd Khairul Adib memperkasakan penggunaan bahasa Melayu dengan betul dalam perkhidmatan awam di semua peringkat sama ada bentuk tulisan mahupun ucapan.

“Sebelum ini sebaliknya berlaku apabila ada dalam kalangan pemimpin taksub dengan bahasa bangsanya sendiri sehingga menafikan akta tersebut dengan membuat memo, kenyataan rasmi mahupun ucapan secara jelas membelakangi akta ini,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Di Seremban semalam, Mohd Khairul Adib dilaporkan berkata, mulai sekarang semua surat rasmi kerajaan mesti menggunakan BM.

Arahan itu termasuk dalam sebarang bentuk perjanjian bertulis, minit, e-mel, notis, memorandum, nota, laporan dan dokumen dalaman untuk mesyuarat yang melibatkan rakyat Malaysia.

Ini katanya, sebagai usaha JPA memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam.

Jelas Nasrul Ali Hasan lagi, tindakan menghantar latihan dan bekerjasama dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bagi meningkatkan kualiti penggunaan bahasa Melayu oleh setiap penjawat awam dalam melaksanakan tugasan harian adalah usaha amat baik.

Katanya, ia bukan sahaja merangsang pengetahuan penjawat awam, malah menjadi contoh bagi semua orang awam untuk turut menggunakan bahasa Melayu dengan baik bagi segala urusan rasmi kerajaan.

“Wira Putra mahukan usaha memperkasakan bahasa Melayu ini tidak lekang menjadi agenda utama negara walaupun negara terus dihimpit arus pemodenan.

“Lihat sahaja negara Jepun yang memperkasakan bahasa mereka, mampu menjadi negara maju tanpa mengutamakan bahasa luar sebagai perantaraan.

“Sebagai warganegara yang cintakan negara dan perpaduan, semua rakyat perlu mempertahankan kelangsungan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan,” ujarnya.

Katanya, agak mustahil selepas hampir 63 tahun merdeka dan 57 tahun penubuhan Malaysia, masih ada yang gagal menguasai bahasa Melayu dengan baik sama ada dalam bentuk lisan atau tulisan.

“Jika ada kaitan antara pembelajaran bahasa Melayu dengan aliran sekolah berteras bahasa ibunda, wajar dikaji dan diselaraskan menjadi satu aliran.

“Wira Putra akan terus menyokong usaha dan ketegasan Mohd Khairul Adib untuk membudayakan bahasa Melayu dalam urusan rasmi perkhidmatan awam setiap hari.

“Jangan sesekali berganjak walaupun mendapat tekanan daripada mana-mana pihak yang cuba untuk menggugat ketinggian bahasa Melayu ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast