Anggota Bomba dan Penyelamat membawa mangsa kedua ke dalam van selepas terperangkap dalam bangunan kondominium yang sedang dalam pembinaan runtuh di Taman Desa Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 14 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) akan turut menggunakan dron untuk mendapatkan gambaran sebenar kejadian sebahagian struktur kondominium runtuh di Taman Desa, Jalan Klang Lama, di sini, semalam.

Timbalan Ketua Pengarah JKKP Zailee Dollah berkata ia akan membantu pihaknya melihat mode of failure selain melihat rekod pembinaan serta aspek reka bentuk dan pemeriksaan kawasan binaan.

“JKKP juga akan melihat pelan dan lukisan kejuruteraan projek kondominium berkenaan selain menyiasat aktiviti dan kaedah pembinaan yang dijalankan oleh pemaju.

“Kami telah mengumpul sebahagian daripada maklumat yang sepatutnya untuk dianalisis dan kami akan buat susulan untuk mengenal pasti punca kejadian. Punca kejadian akan dikenal pasti dalam tempoh terdekat,” katanya kepada Bernama.

Ia merupakan tanggungjawab majikan dalam memastikan kerja-kerja pembinaan itu selamat dan kalau ada kegagalan yang berpunca daripada kecuaian majikan tindakan selanjutnya akan diambil di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata seramai 159 pekerja tapak pembinaan itu diselamatkan termasuklah dua lelaki warga Bangladesh yang terperangkap dalam runtuhan tapak pembinaan tersebut yang berjaya dikeluarkan.

“Kedua-dua mangsa telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan, seorang mangsa masih dirawat di HKL dan seorang lagi telah dibenarkan pulang serta tiada kemalangan jiwa dilaporkan setakat ini.

“Oleh itu, orang ramai diminta untuk tidak menularkan perkara yang tidak benar dan tidak tepat berhubung kejadian ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini boleh menyalurkannya kepada pihak polis dengan menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.- BERNAMA