Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Tindakan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini jelas tidak menuju kelestarian dalam untuk membangunkan negara, dakwa Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris.

Beliau berkata, dalam konteks hubungan diplomatik pula terbukti kerajaan turut gagal apabila sering menimbulkan ketegangan dengan negara-negara kuasa ekonomi global seperti Amerika Syarikat dan India.

Malah menurutnya, kerajaan juga gagal mengekalkan daya saing Malaysia dengan negara jiran seperti Indonesia yang menandatangani 11 perjanjian perniagaan bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE) bernilai RM 93.5 bilion.

“Di Malaysia, pelabur asing terus menjual saham sehingga RM700.2 juta akibat daripada ketiadaan rangsangan ekonomi dan ketidaktentuan politik daripada sikap pemimpin PH yang tidak cekap mentadbir.

“Ketidaktentuan politik seperti isu peralihan kuasa menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pelabur asing sehingga tidak lagi menjadikan Malaysia sebagai tumpuan pelabur seperti era pemeritahan kerajaan BN di mana kemasukan pelabur bernilai RM366 bilion pada tahun 2017.

“Persoalannya, mampukah Malaysia bersaing dan merebut peluang dalam pasaran Asia yang begitu lumayan ini? Kegagalan kerajaan PH bukan sahaja merugikan rakyat, malah mengorbankan masa depan Malaysia yang cerah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Najmil Faiz yang juga Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kuala Terengganu menambah World Economic Forum melaporkan Asia akan menjadi benua yang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terbesar dalam dunia dengan hampir 60 peratus daripada pertumbuhan global.

Justeru tegas beliau, antara perkara yang perlu difokuskan kerajaan ialah memastikan pembangunan kekal berdaya saing dan mampan serta mengatasi masalah kemiskinan di samping cabaran Revolusi Industri 4.0 yang mampu mengancam kesejahteraan sosial.

“Sustainable atau kelestarian merupakan komponen penting dalam memastikan negara serta rakyat tidak ketinggalan dalam arus permodenan,” katanya. – MalaysiaGazette