Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bergambar kenangan bersama para pemenang pada Pertandingan Memancing Putrajaya 2020 sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2020 di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 15 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Wabak Covid-19 di Malaysia setakat ini terkawal hasil usaha bersungguh-sungguh Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pemeriksaan ke atas pelancong asing di pintu masuk utama.

Menteri Wilayah Persekutuan, Abdul Khalid Samad berkata, walaupun kerajaan mengakui industri pelancongan terjejas akibat tetapi rakyat Malaysia tidak perlu bimbang kerana semuanya terkawal.

“Wabak koronavirus (Covid-19) setakat ini terkawal dan kita melihat kesungguhan KKM menanganinya.

“Baru-baru ini, ada seorang rakyat Malaysia didapati terjangkit dengan virus berkenaan, pesakit itu kemudiannya dirawat dan pihak berkuasa sedang mencari siapa lagi yang pesakit jumpa sebelum ini.

“Bagi kita, pemeriksaan ketat sentiasa dilakukan supaya jangkitan itu tidak merebak,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah pertandingan memancing sempena sambutan Hari Wilayah peringkat Putrajaya di sini hari ini.

Khalid menasihatkan rakyat Malaysia mematuhi dan mengikuti segala arahan atau nasihat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan terutama dari segi menjaga kebersihan, kesihatan, mencuci tangan dan sebagainya.

Katanya, setakat ini, tidak ada keperluan untuk kerajaan menutup pintu kepada pelancong asing dari mengunjungi negara ini kerana keadaan masih terkawal..

“Mudahnya virus ini menjangkiti dan tersebar memang kita tidak nafikan, tetapi dari segi fasilitinya tidak seteruk SARS yang pernah melanda negara ini dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette