Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – “Setiap Jumaat, saya terima sekurang-kurangnya 10 aduan daripada daripada operator kren menara yang tidak dibenarkan menunaikan solat Jumaat oleh majikan,” kata Timbalan Presiden Persatuan Pekerja Mahir Kren Menara Malaysia (PERKREMA), Raziz Abd Rahman.

Beliau mendedahkan isu itu sudah lama berlaku dan semakin menjadi-jadi membabitkan lebih 200 operator kren di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

“Alasan majikan yang bukan beragama Islam adalah masa solat Jumaat terlalu panjang menjejaskan kos masa operasi projek.

“Situasi itu menyebabkan pekerja dalam tekanan dan terpaksa akur kerana bimbang akan dipecat,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Timbalan PERKREMA, Raziz Abd Rahman

Sehubungan itu, pihaknya kini sedang mengumpul semua aduan operator kren untuk dibawa ke Jabatan Tenaga Kerja (JTK) bagi tindakan selanjutnya.

“Operator bimbang untuk mengadu kerana takut diberhentikan kerja dalam keadaan kesukaran mendapatkan kerja ketika ini.

“Oleh itu ramai operator yang pasrah dan menyerah.

“Selain aduan ke JTK, PERKREMA juga akan menemui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid untuk menyerahkan petisyen serta mendapat nasihat dan tindakan sewajarnya,” katanya.

Dalam pada itu, pihak PERKREMA mencadangkan agar majikan boleh memberi ruang masa antara jam 12.30 tengah hari sehingga jam 2.30 petang untuk pekerja menunaikan solat Jumaat.

“Mengikut Seksyen 60A(1) Akta Kerja 1955 pihak majikan hendaklah memberi pelepasan kepada pekerja beragama Islam untuk menunaikan sembahyang, iaitu sekurang-kurang 20 minit bagi setiap waktu solat dan sekurang-kurang satu jam 30 minit bagi solat.

“Mengambil iktibar beberapa insiden seperti baru-baru ini di mana berlakunya runtuhan bangunan yang sedang dibina memberi hikmah pentingnya keberkatan dalam mencari rezeki bukan semata-mata mengejar keuntungan yang akhirnya mendapat kerugian lebih besar,” katanya. – MalaysiaGazette