Fotografi bersama Pelakon Utama Filem MAHATHIR the journey, Azhar Amir (kiri) yang membawa watak Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Fauziah Latiff (kanan) yang membawa watak Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali selepas sidang media dan memperkenalkan pelakon-pelakon Filem MAHATHIR the journey di Hotel Sheraton Petaling Jaya, Selangor. foto NOOR ASREKUZAIREY SALIM, 11 NOVEMBER 2019

KUALA LUMPUR – Pembikinan filem Mahathir: The Journey karya Professor Dr Hatta Azad Khan berjaya menamatkan sesi penggambaran semalam.

Berita itu dimaklumkan menerusi kemas kini di laman Facebook filem tersebut.

Filem biografi yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad selama 22 tahun memegang jawatan itu pada kali pertama memulakan sesi penggambaran sejak Disember lalu.

Diterbitkan oleh Reliance Media Group Sdn. Bhd., filem tersebut turut menampilkan kisah benar perjuangan tokoh disegani itu yang dilantik semula sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 2018 selepas 16 tahun bersara.

Watak utama Dr Mahathir dipegang oleh Azhar Amir dan Fauziah Latif sebagai Tun Siti Hasmah Mohamad.

Filem itu turut menampilkan 29 watak penting, termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang dipegang oleh Afiew Hussain, Datin Paduka Marina Mahathir (Ning Baizura), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Dian P Ramlee), Datuk Seri Anwar Ibrahim (Hilal Azman), Nurul Izzah Anwar (Lisdawati) dan Gobind Singh Deo (Muhammad Harminder Singh).

Filem yang menelan belanja RM6 juta dijangka menemui peminat pada Julai ini. – MalaysiaGazette