Nazrin Norani
Presiden Sedar Malaysia, Nazrin Norani bercakap pada sidang media berkenaan Himpunan 220220 di hadapan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 17 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Gabungan Kuasa Rakyat hari ini menegaskan bahawa Himpunan 220220 yang bakal dianjurkan pihaknya itu tiada kena-mengena dengan ‘Pelan B’ yang didedahkan seorang pemimpin PKR, semalam.

Jurucakap NGO itu, Mohamad Nazrin Norani menegaskan, perhimpunan aman itu bukan dianjurkan untuk kepentingan mana-mana pemimpin politik terutama dalam soal peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Himpunan kali ini tiada kaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim atau sesiapa (ahli politik). Kalau kawan-kawan Anwar nak datang, boleh tapi duduk jauh-jauh laa, sebab ini himpunan rakyat.

“Kalau Anwar nak berucap, minta maaf saya cakap awal-awal, saya yang akan pegang pembesar suara pada hari tersebut.

“Kalau nak bergasak dengan saya, dipersilakan, tapi tak boleh (berucap) saya tak akan bagi pembesar suara kepada beliau kalau beliau datang pun. Buatlah ‘Pelan C atau Pelan Z’ pun,” katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, hari ini.

Semalam, Bendahari PKR, William Leong tidak menolak kemungkinan satu gerakan reformasi dan himpunan jalanan akan berulang sekali lagi sekiranya pelan peralihan kuasa antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Anwar tidak dimuktamadkan, Mei ini.

Menurut William, sudah sampai masanya penyokong Anwar menggunakan ‘Pelan B’ untuk memastikan Dr Mahathir menunaikan janji menyerahkan kuasa Perdana Menteri genap dua tahun pemerintahan Pakatan Harapan (PH) pada Mei ini.

Dalam pada itu, Mohamad Nazrin juga menegaskan, himpunan yang mengemukakan 10 tuntutan kepada Kerajaan PH itu adalah platform untuk rakyat menyuarakan bantahan terhadap ketidakstabilan kerajaan pada hari ini.

“Kita bukannya himpunan untuk ahli politik, ini untuk rakyat, jadi anda akan dengar rakyat wakil daripada pelbagai golongan kaum akan berucap pada hari tersebut, bukannya ahli politik atau sebagainya,” katanya.

Ditanya tentang salah satu tuntutan Gabungan Kuasa Rakyat termasuk peralihan kuasa Perdana Menteri, Mohamad Nazrin bagaimanapun menafikannya kerana rakyat sudah mual dengan perebutan kuasa antara dua tokoh politik 90-an itu.

“Itu semua permainan orang politik, rakyat tak nak ambil tahu, dah bosan, dah berpuluh tahun, dari saya kecil bergaduh pasal politik, sampai sekarang orang yang sama, anak saya pun dah masuk tingkatan 4.

“Fikirlah berapa lama kita nak terperangkap dalam kitaran politik macam ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Pls, don’t hijack the good intention of the organizer. This is about people’s grievances. In a democratic country, the people have the right to voice up their displeasure and opinion for the betterment of the whole nation. A call to dissolve parliament is the best solution left for the government. Let the people decide the government they want. A government that will be fair to all the races living in Malaysia. It will be a government that will look after the needs of the ordinary Malaysians and only of the business tycoons.

  2. kerajaan mana ada pelan a b c d begitu. pelan kerajaan hanya memajukan rakyat dan negara. pelan a b c d itu pelan anak bapak curi duit boleh lah . nak buat jangan libatkan kerajaan.

Comments are closed.