Presiden Laskar Siber Malaysia, Datuk Lokman Noor Adam

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa seramai 35 Ahli Parlimen UMNO bersetuju untuk menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya dikekalkan sebagai Perdana Menteri.

Beliau mendakwa, perkara itu dipersetujui setelah kesemua Ahli Parlimen berkenaan menandatangani akuan bersumpah yang kini telah berada di tangan Dr Mahathir.

Bagaimanapun katanya, seramai lima lagi ahli Parlimen daripada parti itu enggan berbuat demikian iaitu Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak; Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah; Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman; Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim.

“Ada 11 orang Ahli Parlimen dari parti sebelah (Pakatan Harapan) yang juga sign SD tu.

So, saya jangkakan sama ada undi percaya atau undi tak percaya. Jika ianya berlaku akan menyebabkan Parlimen digantung,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada MalaysiaGazette hari ini.

Rabu lalu, Lokman mendakwa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah menemui beberapa Ahli Parlimen UMNO bagi mendapatkan akuan bersumpah untuk menyokong Dr. Mahathir supaya dikekalkan sebagai Perdana Menteri.

Katanya, tindakan itu dilakukan oleh Ahmad Zahid sejurus keputusan Ahli Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan memecat beliau sebagai ahli parti berkenaan.

Malah, Lokman turut mendakwa akuan bersumpah itu kini sudah berada ditangan Dr Mahathir. – MalaysiaGazette