Syed Mohammad Faiz Azemmant

KUALA LUMPUR – Majlis Pemikir Melayu Muda Kebangsaan (MPMMK) mencadangkan had umur bersara bagi penjawat awam dan wakil rakyat kepada 50 tahun.

Ini, jelas presidennya, Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant, ia bagi memberi peluang kepada anak muda lepasan sekolah dan universiti mendapat pekerjaan.

Katanya, cadangan itu juga sekurang-kurangnya memberi peluang kepada pemimpin muda berkhidmat sebagai wakil rakyat kerana mereka lebih arif dengan kehendak generasi baharu.

“Kita lihat langkah ini sebagai usaha positif yang sejajar dengan amalan semak dan imbang terhadap percaturan politik serta perkembangan pentadbiran negara seperti di kebanyakan negara maju.

“Jika seseorang wakil rakyat atau penjawat awam memegang jawatan terlalu lama, ia boleh mendedahkan dirinya kepada penyelewengan dan salah guna kuasa, sekali gus memberi kesan kepada peningkatan statistik pengganguran di negara ini.

“Kajian saintifik menunjukkan apabila seseorang itu telah mencapai usia 50 tahun, gejala seperti daya tahan badan sudah berkurangan, tidak kekal aktif, emosi sering berubah dan tidak lagi produktif selain faktor kesihatan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Syed Mohammad Faiz menjelaskan, kalau Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had umur mengundi dan pendaftaran pengundi kepada 18 tahun boleh dilakukan, kenapa untuk had umur bersara penjawat awam dan wakil rakyat tidak boleh.

Katanya, had umur persaraan bagi penjawat awam yang dimuktamadkan sehingga 60 tahun, tidak lagi wajar ketika ramai anak muda termasuk siswazah menganggur ketika ini.

“Cadangan menetapkan had usia 50 tahun juga bertujuan menambah baik polisi negara kerana tempoh perkhidmatan sehingga usia itu sudah memadai untuk seseorang merencanakan pelbagai perancangan kemajuan dan pembangunan negara.

“Ini sahaja cara untuk memberi perlindungan dan hak kepada generasi muda selaku tiang seri untuk menyumbang kepada pembangunan, berkhidmat untuk negara, selain meningkatkan tahap ekonomi rakyat,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. wakil rakyat pun kena ada had umor juga ke. apa ke faedahnya untok negara. kan lebih baik dihad kan umor hidup rakyat malaysia. kepada 70 tahun contohnya atau 60 tahun ke. kalau siapa yang lebih boleh lah suruh dia kembali suka rela. sebelum kerajaan ambil tindakan.

Comments are closed.