Aminuddin Yahaya
Aminuddin Yahaya.

KUALA LUMPUR – Desakan NGO masyarakat India menuntut pembebasan tahanan yang dikaitkan dengan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) merupakan perkara yang sangat membimbangkan.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Aminuddin Yahaya menegaskan, tahanan terbabit bukan tahanan biasa tetapi merupakan tahanan di bawah akta keganasan yang melibatkan keselamatan negara.

“Ini bukan jenayah yang biasa tetapi berkait dengan aktiviti pengganas atau militan yang mana kita dimaklumkan memang ada di antara pendokong mereka di Malaysia ini ada menyalurkan duit secara langsung kepada kumpulan LTTE.

“Sangatlah pelik, mengapakah mereka ini bermati-matian untuk membebaskan mereka ini walaupun mereka terlibat dengan kumpulan pengganas LTTE? Apakah mereka menyokong kegananasan?,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Aminuddin menyatakan demikian ketika diminta mengulas laporan MalaysiaGazette Sabtu lalu yang menyatakan langkah segelintir masyarakat, khasnya dalam kalangan masyarakat India, di negara ini yang masih lagi tidak berputus harap bagi mendapatkan keadilan untuk 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikaitkan LTTE.

Berikutan itu, kumpulan NGO Tamil itu telah melancarkan petisyen untuk dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan mengutip tandatangan rakyat di negara ini bagi menyokong usaha mereka agar kerajaan melepaskan kesemua tahanan terbabit.

NGO berkenaan juga  telah mengemukakan dua permohonan iaitu mendesak pembatalan LTTE sebagai kumpulan pengganas di Malaysia selain menggesa Parlimen segera melakukan pindaan pada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Aminuddin yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendesak, kerajaan tidak tunduk kepada desakan mereka dan mendakwa terdapat penyokong LTTE dalam pimpinan kerajaan pada masa ini, sebagaimana mereka yang ditahan dikenalpasti antara pimpinan dan wakil rakyat DAP.

Tambah beliau, itu merupakan kegusaran yang disampaikan kepada Yang Dipertuan Agong melalui Memorandum 152 yang dihantar ke Istana Negara pada Sabtu lalu.

“Kita harap agar perkara ini dipandang serius oleh Tuanku kerana boleh menggugat keselamatan dan kesejahteraan negara,” ujarnya. – MalaysiaGazette

LTTE: Lebih 60,000 tandatangan mohon kerajaan lepaskan tahanan