KUALA LUMPUR – Kira-kira 50 tahun lalu, sekumpulan pekerja tempatan di Bahagian Kejuruteraan Mekanikal diarahkan bertolak ke dua lokasi di Banjaran Titiwangsa yang memisahkan pantai Barat dengan pantai Timur Semenanjung.
Dua kumpulan itu, terdiri daripada penguasa, jurutera awam, jurutera mekanikal, juruteknik dan pekerja am ditempatkan di Gerik, Perak dan satu kumpulan lagi di Jeli, Kelantan.
Tugasan mereka ialah membina Jalan Raya Timur Barat (JRTB) atau lebih dikenali sebagai Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) yang menghubungkan Jeli dan Gerik sepanjang 123 kilometer.
Kerja pembinaan bermula dengan memecah bukit, membersih kawasan hutan tebal dan meratakan tanah keras berbatu bermula sekitar tahun 1970.
Mereka bekerja dalam keadaan berhati-hati kerana sepanjang kawasan itu terkenal sebagai kubu dan lokasi persembunyian pengganas komunis, selain ancaman binatang buas yang bila-bila masa menyerang dan membunuh pekerja pembinaan.
Namun, hasil kecekalan dan berkat kesungguhan, di samping kawalan ketat anggota tentera menjaga keselamatan semua pekerja, akhirnya JRTB atau LRTB itu siap 12 tahun kemudian.
Selepas itu, semua pekerja dari pelbagai jawatan kembali ke jabatan masing-masing, dan ada antaranya meninggal dunia, bersara, berpindah randah serta masing-masing berpisah, tanpa khabar berita.
Namun, menyedari masih ada dalam kalangan mereka yang berumur panjang, seorang dari bekas pekerja, Shaari Yaakob, 74, merancang untuk menganjurkan majlis pertemuan bagi mengeratkan silaturahim.
Beliau yang tinggal di Kampung Kubang Panjang, Pasir Mas berkata, majlis reunion yang ditetapkan pada 28 Mac 2020 ini terbuka kepada semua bekas kakitangan dari penguasa, jurutera awam, mekanik, juruteknik dan pekerja am.
“Kita cadangkan majlis ini diadakan di Tunjung Banquets Sdn. Bhd di Bandar Baru Tunjung, Jalan Kuala Krai, Kota Bharu, bermula jam 11 pagi hingga 3 petang.
“Sesiapa sahaja yang bekerja dalam pembinaan JRTB itu, tidak kira di mana berada, boleh hadir. Kita mahu menjejak rakan-rakan JRTB yang terpisah lebih 30 hingga 40 tahun lamanya dan kebanyakannya telah bersara dari perkhidmatan awam.
“Kita mahu merenung kebajikan masa depan bekas kakitangan JRTB-Jeli yang tidak pernah didendangkan walaupun telah menyumbang bakti kepada negara mengikut kepakaran masing-masing sehingga menjadikan lebih raya itu realiti,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Menurut Shaari, beliau dan ratusan rakan mula bekerja pada 1 Oktober 1970 dalam dua kumpulan yang ditempatkan serentak di Gerik, Perak dan Jeli, Kelantan.
Kata beliau, dua pejabat operasi dibuka masing-masing diketuai Jurutera Penguasa Timur dan Barat, stesen satu di Jeli sebagai Jurutera Penguasa Timur dan di Gerik sebagai Jurutera Penguasa Barat.
Beliau turut mengharapkan orang ramai bermurah hati menyumbangkan kepada tabung perjumpaan itu bagi memastikan hasrat mereka untuk bertemu rakan lama yang kini mencecah usia antara 70 hingga 80 tahun menjadi kenyataan.
Katanya, sumbangan boleh dibuat menerusi akaun Bank Rakyat 220121564789 atas nama Maasom Ismail dan untuk maklumat lanjut boleh menghubunginya di talian 019-919 1630.
Untuk rekod, JRTB mula dibina pada 1967 dengan kerja pembinaan sering kali terganggu oleh perbuatan khianat pengganas komunis yang menyerang hendap pekerja binaan.
Gangguan itu menyebabkan pembinaan JRTB mengambil masa lama untuk siap berikutan berlau perang insurgensi komunis atau darurat kedua tahun 1967 hingga 1989.
Keadaan itu menyebabkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan anggota tentera bagi mengawal sepanjang jalan raya itu dan sebuah tugu peringatan dibina Jabatan Kerja Raya di Pulau Banding bagi menghormati pekerja yang terkorban akibat serangan hendap pengganas komunis sepanjang pembinaan JRTB. – MalaysiaGazette