Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. foto FAREEZ FADZIL, 06 OKTOBER 2017

KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan satu sindiket penyeludupan  rokok dan arak seludup yang bergiat aktif di seluruh Semenanjung dalam operasi yang dilakukan Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman di Klang Utara dan Shah Alam pada Sabtu lalu

Pengarah Jabatan KDNKA Bukit Aman, Komisioner Datuk Seri Acyrl Sani Abdullah Sani berkata, dalam operasi berkenaan seramai lapan lelaki disyaki terlibat dalam penyeludupan ditahan.

“Kesemua suspek terdiri daripada empat warga tempatan dan empat warga negara Bangladesh.

“Kesemua mereka yang berusia antara 19 hingga 65 tahun ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasil operasi itu, polis merampas 18,800 karton rokok seludup pelbagai jenama dan 3,108 botol arak seludup pelbagai jenama bernilai RM3.480 juta.

Justeru katanya, pihaknya turut merampas enam kenderaan iaitu lima buah lori dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) bernilai RM308,000.

“Kesemua lapan individu berkenaan kini direman di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara selama 12 hari bermula 16 Februari lalu hingga 27 Februari ini.

“Mereka akan disiasat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut selain kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya. – MalaysiaGazette