Huzir Mohamed

KUALA LUMPUR – Satu operasi polis besar-besaran untuk menahan lebih 40 ahli kongsi gelap Geng Ayah Yie Tiger 99 (AYT99) akhir berjaya membongkar penglibatan dua ahli tersebut dalam insiden tembak pemandu bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Ketuanya AYT 99 yang dikenali sebagai Ayah Yie antara 12 ahli kongsi gelap berjaya dicekup dalam operasi yang sama, kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

“Suspek penembak pemandu Gani Patail berumur sekitar 40-an itu adalah antara yang sedang diburu polis dan kesemua 12 orang yang tahan ketika ini adalah berumur lingkungan antara 24 tahun dan 49 itu serta direman selama 28 hari di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) bermula 23 Januari lalu.

“Mereka akan dituduh di Mahkamah Klang pagi esok di bawah Bab 6 B Seksyen 130 V Kanun Keseksaan iaitu jadi ahli kumpulan jenayah terancang,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.

Turut bersama Timbalan Pengarah JSJ (Perundangan), Deputi Komisioner Mior Faridalathrash Wahid.

Menurut Huzir, operasi berkenaan dilakukan oleh Bahagian Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman dibantu Bahagian Operasi Khas (D8) dan Cawangan Khas pada 20 Januari lalu di Klang.

Polis juga mendedahkan penahanan 12 orang ahli kumpulan jenayah terancang itu juga melibatkan tiga penjawat awam dan yakin kumpulan AYT 99 yang aktif sejak 2012 itu di Lembah Klang berjaya ‘dikuburkan’ sepenuhnya.

Bagaimanapun katanya, lebih kurang 20 lagi suspek ahli-ahli AYT 99 yang disyaki masih bebas di luar sana sedang diburu polis dan yakin ditangkap dalam masa terdekat.

Mengulas mengenai kes menembak pemandu Gani, katanya, geng itu diupah RM30,000 oleh seorang individu luar yang didakwa mempunyai konflik peribadi dengan pemandu tersebut.

Mangsa cedera di paha dan suspek disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api kerana cubaan membunuh.

Tambah beliau, penglibatan mereka terbongkar selepas polis D7 Bukit Aman pada 31 Januari lalu dengan dipandu arah oleh Ayah Yie (ketua geng) menjumpai dan merampas tiga pucuk pistol di dalam rumah ketua geng tersebut di Klang.

Analisis forensik polis kemudiannya mengesahkan satu daripada pistol digunakan dalam kejadian tembak pemandu Gani selain dua lagi jenayah iaitu kes tembak di Sungai Buloh dan ketiganya di sebuah rumah di Klang.

Jelasnya kumpulan itu secara amnya dianggarkan mempunyai jumlah keahlian sekitar 40 orang anggota berusia antara 24 hingga 49 tahun dan siasatan polis mendapati kebanyakan mereka mempunyai rekod jenayah.

Ada dalam kalangan mereka pernah dihukum penjara atas kesalahan mendatangkan kecederaan serta kesalahan dadah dan lain-lain.

Dalam serbuan sama polis turut merampas sebuah kereta Toyota Camry, pedang panjang, pisau, kerambit, buku 555 dan wang tunai RM4,000 manakala hasil siasatan juga mendedahkan kumpulan itu aktif melakukan kekerasan bagi kepentingan mereka.

Antara jenayah kekerasan yang dilakukan mereka termasuklah menyerang mangsa lelaki berkaitan masalah perebutan tapak projek menggunakan parang samurai dan gergaji kayu yang kiniĀ  disiasat di bawah Seksyen 324 dan 148 Kanun Keseksaan.

“Kes ketiga, seorang lelaki diserang 20 lelaki dengan bersenjata kayu besbol, batang laip dan botol kaca. Kecederaan patah tulang rusuk, patah hidung dan jahitan di kepala akibat akibat perselisihan faham dengan salah seorang ahli kumpulan itu selepas terima arahan ketua juga disiasat di bawah Seksyen 326 dan 148 kanun Keseksaan.

“Mereka turut terlibat dalam ugutan membunuh dan mahu mencederakan seorang pegawai berpangkat inspektor dan ahli keluarganya ketika keluar makan malam di pasar malam di Klang pada September lalu.

Selain itu mereka juga terlibat pergaduhan dan penculikan ahli geng Tiger Snook selepas terlibat perselisihan faham kerana perebutan tapak penjualan mercun.

“Ketiga-tiga senjata api pistol yang dirampas itu dipercayai diperoleh dari sempadan negara,” katanya tanpa mendedahkan butiran lanjut.- MalaysiaGazette