KUALA LUMPUR – Produk Energy Candy iaitu ExtrAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy yang dipercayai diimport disahkan mengandungi racun berjadual tadalafil.

tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah mati pucuk dan hanya boleh diberikan kepada pesakit di bawah pemantauan ahli profesional kesihatan berdaftar.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, bahan ini dilarang penggunaannya dalam makanan di bawah Akta Makanan 1983.

Penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran, penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya dan kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

Sehubungan itu, larangan pengimportan telah dikeluarkan serta-merta dan KKM ingin memberi amaran kepada sesiapa yang masih menyimpan stok produk ini agar menghentikan pengedaran dan penjualan termasuk jualan atas talian.

Menurutnya, tindakan boleh dikenakan di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983 di mana jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Pengguna juga dinasihatkan supaya tidak membeli produk tersebut. Sekiranya telah membeli, tidak memakannya dan mendapatkan nasihat daripada profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. – MalaysiaGazette