Joshua dan isterinya Ruth Sitepu.

KUALA LUMPUR – Joshua menerima panggilan telefon berbaur ugutan sebelum dilaporkan hilang bersama isterinya, Ruth Sitepu pada 30 November 2016 lalu.

Itu dakwaan saksi kedua inkuiri awam kehilangan pasangan suami isteri berkenaan, Grace Tangamalar, 27, kepada panel yang dipengerusi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam), Datuk Seri Hishammuddin Yunus.

Menurut Grace, pasangan malang itu dilihat terganggu selepas menerima panggilan itu.

Grace yang merupakan anak kepada saksi pertama inkuiri berkenaan iaitu Peter Pormannan mendapat tahu mengenai ancaman ke atas Joshua menerusi salah seorang penghuni sementara warga Sabah yang mendengar hasil perbualan Joshua itu pada tahun 2016.

“Penghuni Sabah berkenaan memberitahu saya berlaku pertikaman lidah agak hangat antara Joshua dan seorang individu dalam perbualan telefon.

“Mereka memberitahu saya terdengar Joshua dalam telefon memberitahu ‘saya tak kacau kamu, kenapa kamu kacau saya?’ katanya pada hari pertama inkuiri awam Suhakam dalam kes kehilangan pasangan suami isteri tersebut.

Inkuiri yang melibatkan para peguam dan awam berlangsung sejak 11 pagi tadi dan Grace selaku saksi kedua diambil keterangan selama lebih satu jam.

Grace juga berkata, dia dan adiknya juga berpindah dan tinggal bersama Joshua dan Ruth di Kampung Tunku, Petaling Jaya ketika menuntut di City University dari tahun 2015 hingga tahun 2016 dan sebelum itu pasangan itu katanya ditempatkan di rumah neneknya (ibu mertua Peter) di Kampung Jawa, Klang.

Panel juga diberitahu oleh Grace yang Joshua telah berhijrah ke sebuah rumah banglo satu tingkat di Kampung Tunku.

Suhakam membuka siasatan inkuiri awam bagi mengenalpasti sama ada pasangan suami isteri dari Indonesia itu menerima nasib kehilangan secara paksa seperti yang berlaku kepada Pastor Raymond Koh dan seorang aktivis masyarakat, Amri Che Mat.

Undang-undang hak asasi manusia pada peringkat antarabangsa mengklasifikasikan kehilangan paksa sebagai apabila seseorang itu secara rahsia dilarikan atau dipenjarakan oleh organisasi politik atau negara atau oleh pihak ketiga dengan pengesahan dan sokongan.

Dalam inkuiri sama, Grace juga yang bekerja sebagai eksekutif logistik di Lembah Klang mendedahkan dia telah dipanggil polis dan diambil keterangan minggu lalu empat tahun selepas pasangan itu hilang.

“Polis tidak datang kerumah saya tetapi mereka menghubungi saya dan meminta hadir ke balai polis sebelum diambil keterangan di sana mengenai kehilangan pasangan itu dan ia diambil pegawai sama yang telah menrekodkan keterangan daripada bapa saya (Peter) ekoran laporan awalnya pada Mac 2017 selepas menyedari kehilangan mereka.

“Ini bukan insiden pertama (panggilan ugutan) yang diterima pasangan itu sebaliknya mereka telah menerima satu lagi insiden ancaman sebelum pasangan Joshua meinggalkan rumah dan sebulan kemudian mereka menghubungi saya dan bertanya sama ada sesiapa cari mereka tau sebarang gangguan diterima.

“Selepas ditanya kenapa, Ruth (isteri Joshua) menjelaskan ada ugutan berbentuk ancaman diterima mereka dan mereka terpaksa meninggalkan rumah segera buat sementara waktu dan dia mengakui masalah berlaku sejurus selepas sebuah keluarga Melayu antara empat hingga lima orang yang tinggal sementara di rumah Joshua,” katanya.

Tambah Grace, memang masalah tercetus selepas keluarga itu tinggal di rumah itu sebelum meninggalkan rumah beberapa hari kemudian.

“Rumah dia (Joshua) sentiasa terbuka kepada orang semua bangsa dan kadang-kadang warga asing datang tinggal di sana.

“Joshua juga seorang yang transparent dan tidak pernah menyembunyikan apa-apa daripada sesiapa mahupun saya dan bilik dia penuh dengan koleksi buku termasuk buku koleksi agama Kristian dan Islam dan dia suka mengkaji dan membuat perbandingan dan selama dua tahun kami berkenalan dan berbual dengan dia kerana duduk di rumah dia bersama adik saya,” katanya.

Grace juga disoal sama ada menyedari bila pasangan itu didapati hilang dan apa perasaannya selepas menyedari keadaan itu.

Grace bagaimanapun berkata, pada mulanya dia tidak merasakan apa-apa.

“Oleh kerana kami biasa melihat Joshua dan Ruth sentiasa berjalan sana sini dengan kereta termasuk Alor Setar dan sebagainya akan balik dan seperti biasa pada waktu kehilangan mereka kami rasa mereka akan pulang segera seperti biasa.

“Selepas tidak muncul agak lama saya memaklumkan kepada bapa saya (Peter) pasangan itu hilang selama sebulan lebih,” tegasnya.

Terdahulu, saksi pertama, Peter juga memberitahu panel yang dia membuat laporan kehilangan Joshua dan isteri di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya sebelum dirakam keterangan di Balai Polis Sungai Way.

Kira-kira tiga bulan kemudian pegawai penyiasat hadir ke rumah mangsa di Kampung Tunku dan memeriksa bilik untuk mencari bahan bukti yang boleh membantu siasatan.

Inkuiri ditangguhkan dan akan disambung pada 2 Mac ini menerusi saksi lain dalam kes tersebut.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast