KUALA LUMPUR- Seramai 44,823 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan mengetahui keputusan masing-masing pada 25 Februari ini.

Majlis Peperiksaan Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua calon boleh mendapatkan keputusan peperiksaan di sekolah masing-masing bermula jam 12 tengahari.

Bagi calon persendirian individu pula, keputusan akan diperoleh secara pos.

Calon-calon juga boleh menyemak keputusan masing-masing menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS) dengan menaip STPM RESULT <jarak> <no kad pengenalan> dan menghantarnya ke 15888 atau melayari portal Majlis Peperiksaan Malaysia.

Daripada 44,823 calon telah hadir menduduki pada tahun lalu, 44,501 (99.28%) orang adalah calon sekolah kerajaan, 167 (0.37%) calon sekolah swasta, 128 (0.29%) calon persendirian individu, dan 27 (0.06%) calon sekolah kerajaan negeri. – MalaysiaGazette