Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad bercakap pada sidang media berkenaan perkembangan terkini Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 18 FEBRUARI 2020.

PUTRAJAYA – Menteri Kesihatan mengingatkan semua pesakit dan waris perlu  berhemah dan mematuhi etika peraturan termasuk tidak membuat rakaman ketika berada dalam bilik rawatan di hospital.

Sebarang ketidakpuasan hati berkenaan perkhidmatan rawatan perlulah disalurkan menerusi saluran rasmi, kata Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly turut menegaskan bahawa petugas perubatan juga perlu profesional sewaktu menjalankan tugas.

“Ingin saya nasihatkan orang ramai sekiranya mempunyai aduan gunakanlah saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi atas talian atau juga boleh terus ke fasilitasi KKM di pejabat kesihatan negeri.

“Saya juga ingin menegaskan kepada pesakit dan waris juga perlu berhemah sewaktu mendapatkan rawatan dan ini termasuk keperluan untuk mematuhi peraturan dan etika seperti tidak membuat rakaman dalam bilik rawatan,” katanya pada sidang media hari ini.

Beliau mengulas rakaman video yang tular di media sosial mengenai ketidakpuasan hati  satu pihak terhadap perkhidmatan doktor di Klinik Kesihatan Seremban baru-baru ini.

Bagaimanapun Dzulkefly menambah semua pihak yang berkaitan dengan insiden itu berhak memberikan pejelasan masing-masing.

Terdahulu, Jabatan Kesihatan Negeri, Negeri Sembilan (JKNNS) berkata insiden tersebut sedang disiasat dan pengadu juga dilaporkan telah dihubungi untuk maklumat yang terperinci. -MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Warga maya kecam individu tularkan video doktor