Beberapa kakitangan dari JAPFA menjalani latihan intensif akuakultur selama satu bulan di IPMB, UMS.

UNIVERSITI Malaysia Sabah (UMS) menandatangani
Memorandum Perjanjian (MoA) bersama JAPFA Comfeed Indonesia, sebuah syarikat pembuat makanan ternakan yang terbesar di Asia dengan perniagaan multimilion dalam sektor
penternakan haiwan, akuakultur, perdagangan dan perkhidmatan.

Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Dr. Taufiq Yap Yun Hin berkata, kerjasama ini akan memfokuskan kepada program latihan dan pemindahan ilmu akuakultur kepada kakitangan JAPFA yang kini sedang dalam rangka membangunkan sebuah institusi akuakultur di Indonesia.

“Sebelum ini UMS dan JAPFA sudah mengadakan pelbagai kerjasama termasuk dalam bidang penyelidikan dan perkongsian kepakaran.

“Kerjasama dan kepercayaan yang diberikan ini pasti akan meningkatkan keterlihatan UMS di pentas global dan meningkatkan citra serta reputasi UMS dalam bidang akuakultur,” kataya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada upacara pemeteraian MoA tersebut, STP JAPFA turut menyempurnakan penyerahan dokumen kontrak penyelidikan kepada Institut Penyelidikan Marin Borneo (IPMB) UMS bernilai
RM220,000 bagi memulakan program latihan akuakultur seperti yang terkandung dalam dokumen MoA.

Taufiq berkata, kerjasama JAPFA-UMS melalui IPMB telah bermula sejak 10 tahun yang lalu melalui khidmat jururunding kepakaran oleh Prof. Dr. Shigeharu Senoo yang merupakan kakitangan akademik di IPMB.

“Kemudian pada tahun 2016, JAPFA telah menganugerahkan kontrak penyelidikan bernilai RM180,000 kepada Prof. Madya Dr. Faihanna Ching untuk mengetuai projek penyelidikan dengan fokus kajian kematangan gonad ikan belut bagi memperkasakan industri akuakultur dalam bidang ternakan ikan belut.

“Pada tahun 2019, JAPFA telah menghantar beberapa kakitangannya ke IPMB UMS untuk menjalani latihan dalam bidang akuakultur bagi memperkasakan sumber manusia dalam bidang akuakultur,” katanya.

Untuk rekod JAPFA Comfeed Indonesia mempunyai seramai 38,000 pekerja dari tujuh buah negara di rantau Asia termasuk China.

Kekuatan syarikat ini juga merangkumi sektor ternakan haiwan iaitu meliputi unit pengeluaran makanan ternakan, unit pembiakan ayam dan lembu, serta unit perniagaan pertanian. – MalaysiaGazette