Dr. Dzulkefly Ahmad

KUALA LUMPUR –  Seramai 350 penumpang dan 230 kru  kapal MV Genting Dream yang tiba di Pelabuhan Klang dari Singapura sehingga kini  tidak menunjukkan gejala dijangkiti Covid-19.

Perkara itu disahkan  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad selepas ujian dan saringan dijalankan sejak 3 petang selepas kapal itu tiba 12 tengah hari tadi.

“Kapal itu dimaklumkan tidak pernah ke China. Setibanya tiba di Pelabuhan Klang pihak berkuasa kesihatan naik ke kapal untuk melakukan saringan mana penumpang bergejala diletak pemantauan atau pusat kuarantin.

“Sehingga kini, saya difahamkan tidak ada seorang pun yang  bergejala, setakat 3 petang ini,” katanya ketika sidang media selepas melancarkan Insiatif Kesihatan Mental oleh Universiti Malaya (UM) di Foyer Dewan Tunku Canselor UM hari ini.

Kapal itu dijadualkan akan bergerak ke Singapura pada 11 malam ini.

Kapal itu membawa penumpang 957 dan jumlah keseluruhan krew adalah 1,701.

Dimaklumkan ujian saringan Covid-19 hanya dilakukan kepada penumpang atau kru yang turun dari kapal berkenaan.

Terdahulu Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Ean Yong Hian Wah berkata, semua penumpang dan anak kapal tersebut  telah berkali-kali menjalani pemeriksaan kesihatan dan tidak menunjukkan tanda-tanda Covid-19.

Dalam perkembangan lain, Dzulkefly berkata, seorang daripada rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Diamond Princess disahkan pihak kesihatan Jepun negatif Covid-19.

Wanita 61 tahun itu tambah beliau dibenarkan pulang ke tanah air.

Manakala pasangan suami isteri yang sebelum ini positif wabak itu kini dalam keadaan stabil di Hospital Fujita, Nagoya.

Seorang lagi yang merupakan krew kapal masih dalam pemantauan dan belum disahkan sama ada positif atau negatif wabak itu.-MalaysiaGazette