Muhadjir Effendy

JAKARTA – Menteri Koordinasi Pembangunan Manusia dan Kebudayaan Indonesia, Muhadjir Effendy mencadangkan orang kaya di negaranya mengahwini mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah, dengan memberi alasan perkahwinan seumpama itu boleh mengurangkan kadar kemiskinan.

Muhadjir berkata, di Indonesia, negara majoriti Islam, pengajian agama untuk ‘mendapatkan pasangan yang secocok’ telah disalah ertikan.

“Apa akan berlaku jika orang miskin mencari (pasangan) dengan orang miskin? Akan terdapat banyak lagi isi rumah yang miskin. Ini adalah masalah di Indonesia,” kata Muhadjir ketika berucap pada Mesyuarat Kerja Kesihatan Nasional di Jakarta.

Memetik data kerajaan, bekas Menteri Pendidikan dan Kebudayaan itu berkata, bilangan isu rumah miskin adalah kira-kira 5 juta.

“Bilangan isi rumah Indoinesia ialah 57.1 juta, 9.4 peratus atau 5 juta yang dikategorikan sebagai miskin, Jika ditambah dengan isi rumah yang hampir miskin, ia adalah kira-kira 16.8 peratus atau 15 juta isi rumah,” kata Muhadjir seperti dipetik tempo.com.

Beliau berkata, peningkatan kemiskinan juga selari dengan peningkatan penyakit seperti terencat. Oleh itu, katanya, pengeluaran ‘fatwa’ untuk membolehkan perkahwinan seperti itu boleh menjadi jalan penyelesaian.

Muhadjir mencadangkan Menteri Hal Ehwal Agama, Fachrul Razi mengeluarkan fakwa yang mengarahkan ‘orang miskin perlu melihat kepada orang kaya (untuk berkahwin) dan orang kaya sepatutnya melihat kepada orang miskin’.

Bagaimanapun, di Indonesia, mengeluarkan fakwa bukannya tanggungjawab Menteri Hal Ehwal Agama kerana fatwa pada kebiasaannya dikeluarkan oleh organisasi Islam, termasuk Majlis Ulama Indonesia (MUI) selepas kajian komprehensif dilakukan oleh Suruhanjata Fatwa atau pakar-pakar agama dalam bidang-bidang berkaitan.

Selain fatwa, Muhadjir juga mencadangkan program pensijilan pra perkahwinan dilakukan, yang mana pasangan yang tidak mempunyai ekonomi yang stabil tetapi mahu berkahwin perlu menerima kad pra pekerjaan daripada program yang dilancarkan Presiden Joko ‘Jokowi’ Widodo, lapor The Jakarta Post.

Muhadjir berkata, program pra perkahwinan seumpama itu, yang mana beliau mendakwa telah dilaksanakan di beberapa buah negara seperti Korea, Malaysia dan Singapura, akan mengurangkan kadar keluarga miskin baharu di Indonesia.

“Matlamatnya selepas perkahwinan, pasangan akan membentuk isi rumah yang stabil ekonominya,” katanya. – Agensi