Saksi yang juga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Othman Semail hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak melibatkan Isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto MALAYSIA GAZETTE, 20 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – “Walaupun Datuk Seri Najib (Razak) mengarahkan supaya projek solar hibrid oleh Jepak Holdings dilaksanakan namun pada masa sama beliau juga mahu Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengikut prosedur,” kata Datuk Othman Semail.

Perkara tersebut diakui sendiri oleh Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang menjadi saksi pendakwaan ketujuh kes rasuah projek solar hibrid yang didakwa ada penglibatan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.

Othman mendedahkan kepada mahkamah dalam satu minit yang ditulis sendiri oleh Najib pada Januari 2017 telah mengarahkan Kementerian Pendidikan memantau projek solar itu selain daripada mengikut prosedur.

Semasa kejadian beliau merupakan Setiausaha Bahagian Perolehan Kerajaan di Kementerian Kewangan.

Antara yang ditulis kepada Setiausaha Kementerian Pendidikan, Alias Ahmad dalam minit itu adalah, Najib mahu projek itu mengikut prosedur mengikut ketetapan kementerian supaya tidak ada masalah timbul kepada para pelajar.

Othman berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguambela Rosmah, Datuk Akberdin Abdul Kader berhubung minit Najib yang juga dikaitkan dengan rundingan terus itu bagi projek bernilai RM1.25 bilion tersebut.

Akberdin juga menunjukan kepada saksi beberapa minit yang telah ditulis oleh bekas perdana menteri itu berhubung projek solar tersebut antara tahun 2015 sehingga tahun 2017.

Antaranya termasuk minit yang di tulis pada 1 Disember 2015 yang memberi kelulusan kepada Jepak Holdings untuk melaksanakan projek solar berkenaan.

Najib juga ada mengeluarkan dua minit lagi yang memberi arahan kepada bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzhir Khalid untuk melaksanakan cadangan Jepak Holdings pada Jun 2016.

Satu lagi pada Januari 2017 di mana beliau meminta Alias untuk bukan sahaja memantau projek tersebut malah juga mahu ianya mengikut prosedur dalam Kementerian supaya tidak membawa sebarang masalah kepada para pelajar.

Akberdin: Syarat-syarat serta garis panduan juga perlu dipatuhi, itu adalah antara arahannya? Betul Datuk?

Othman: Ya, benar.

Akberdin: Datuk setuju dengan cadangan saya bahawa Datuk Najib bukan sahaja arahkan projek itu dilaksanakan sebaliknya mahu Kementerian Pendidikan ikut garis panduan serta prosedur dengan betul?

Othman: Benar, saya setuju.

Akberdin: Saya juga sebenarnya sangat kagum dengan Datuk kerana banyak memberikan peringatan tentang projek dan tidak sekadar mengikut arahan begitu sahaja.

Othman: Saya boleh beri nasihat tapi keputusan tetap terpulang kepada yang memutuskannya. Itu sahaja.

Sebelum ini, beberapa saksi termasuk Mahdzir dan Tan Sri Madinah Mohamad ada memberikan keterangan berhubung minit yang ditulis oleh Najib bagi memberikan Jepak Holdings melaksanakan projek solar hibrid ini.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan akan bersambung pada 9 Mac hadapan.

Ketika ini, Rosmah sedang berhadapan tuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor.

Wang itu sebagai upah kerana membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. –MalaysiaGazette

Minit surat Najib setuju laksana sistem baru pada surat Jepak