Saksi yang merupakan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid hadir pada perbicaraan kes rasuah projek sistem solar sekolah luar bandar Sarawak yang melibatkan isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansordi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 05 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan mendakwa walaupun sudah mempunyai kontraktor lama, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memintanya membatal serta menukar kontraktor baharu.

Datuk Seri Mahdzir Khalid menyatakan demikian ketika memberi keterangan tentang Pengarah Urusan Jepak Holding, Saidi Abang Samsudin yang berhasrat untuk memperkenalkan sistem hibrid solar bagi menjana elektrik di 369 buah sekolah di Sarawak.

Kata Mahdzir, Saidi yang datang berjumpa dengannya seolah-olah sudah mempunyai rancangan mengambil alih sistem elektrik set janakuasa (genset) diesel sedia ada di sekolah-sekolah dikendalikan oleh beberapa kontraktor kementerian sedia ada.

Mahdzir yang merupakan saksi kelima pendawaan mendedahkan Saidi datang bertemunya pada 2015 bagi membincangkan sistem hibrid solar di sekolah di Sarawak.

“Ketika itu saya sudah menolak cadangan Jepak Holdings kerana pada waktu itu kementerian masih mempunyai kontrak dengan kontraktor lama.

“Saya juga sebenarnya agak ragu-ragu dengan kemampuan Jepak Holdings kendalikan projek sebesar itu,” katanya ketika perbicaraan rasuah Datin Seri Rosmah Mansor hari ini.

Mahdzir menyambung bagaimanapun pada Disember 2015, beliau telah menerima surat bahawa Najib mengarahkan dirinya selaku Menteri Pendidikan untuk melaksanakan projek Jepak Holdings itu.

“Najib juga dalam minit surat itu menulis ‘Bersetuju dilaksanakan sistem baharu ini dan batalkan sistem lama’.

“Minit itu ditulis daripada surat permohonan daripada Jepak Holdings bertarikh 23 November 2015,” katanya.

Prosiding bersambung di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan. – MalaysiaGazette