Peguam yang mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk D.P. Naban hadir ke mahkamah berikutan kes saman LHDN terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung permohonan penggantungan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara akan melantik peguam lain dalam masa terdakat bagi menggantikan Datuk D P Naban yang mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Naban merupakan wakil pendakwaan dalam kes saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut laporan The Malaysian Insights, Naban sendiri membuat pengakuan bahawa beliau tidak lagi mewakili LHDN dalam kes berprofil tinggi itu.

Jabatan Peguam Negara terpaksa menggantikan Naban kerana wujudnya dakwaan membabitkan kesalahan berkaitan cukai di firma peguam tersebut iaitu, Lee, Hishammuddin, Allen and Gledhill.

Dakwaan penyewelengan itu menyebabkan keadaan tidak menentu dalam kalangan rakan kongsi firma tersebut sehingga terdapat kemungkinan berlaku ‘keretakan’ serius tidak lama lagi.

Naban merupakan peguam kanan firma tersebut, sekali gus berkemungkinan menyebabkan kedudukannya dalam pasukan pendakwaan tidak dapat dipertahankan sebaik sahaja dakwaan salah laku cukai membabitkan firma itu timbul.

LHDN juga akan membuat pengumuman berhubung pengganti Naban dalam kes tuntutan terhadap Najib.

Pada November lalu, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan mencabar kesahihan pelantikan Naban untuk mewakili LHDN.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata, beliau mencabar pelantikan dan kelayakan Naban kerana firma beliau (Naban) mungkin mempunyai kepentingan.

“Isu kelayakan dibangkitkan kerana kami dimaklumkan bahawa firma rakan saya ini bertindak atas kepentingan kerana ia sudah mewakili kes terhadap anak guam saya dan terhadap LHDN,” katanya kepada Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Ahmad Bache.

Pada 25 Jun lalu, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntutnya membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan yang masih tertunggak bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

Bagaimanapun Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan itu sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Seandainya permohonan Najib ditolak, mahkamah akan meneruskan permohonan LHDN untuk mendapatkan penghakiman ringkas terhadap bekas Presiden UMNO itu. –MalaysiaGazette

Saman LHDN RM1.6 bilion cubaan ‘bunuh’ karier politik Najib