Khalid Samad

PUTRAJAYA – PlanMalaysia yang sebelum ini dibawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah ditukar ke Kementerian Wilayah Persekutuan.

Menurut Menteri Wilayah, Abdul Khalid Samad, dengan adanya agensi baharu itu, fungsi dan skop kementerian berkenaan lebih luas melangkaui tiga wilayah sebelum ini, iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau berkata, antara fungsi dan tanggungjawab PlanMalaysia ialah melaksanakan perancangan dan pembangunan bandar khususnya di seluruh negara.

“Bila sebut Wilayah Persekutuan, rakyat kenal sebagai tiga wilayah saja iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Kini dengan adanya agensi PlanMalaysia, fungsi kementerian ini melangkaui tiga wilayah.

“Ini kerana PlanMalaysia juga bertanggungjawab untuk merancang pembangunan fizikal negara dan menentukan garis panduan untuk pembangunan bandar dan desa bagi semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat PlanMalaysia di Dewan Serbaguna, Menara Sri Wilayah di sini, hari ini.

Menurut Abdul Khalid, penganjuran sambutan itu sebagai usaha untuk menghayati semangat pembentukan Wilayah Persekutuan dan pada masa sama menonjolkan peranan dan kepakaran agensi berkenaan.

Kata beliau, tahun depan merupakan 100 tahun wujudnya bidang perancang bandar di negara ini, walaupun pada masa itu ia dimulakan oleh seorang perancang bandar dari England.

Katanya, walaupun kementerian itu sudah mempunyai Jabatan Perancang, tapi mereka menggunapakai panduan yang telah ditetapkan oleh PlanMalaysia dalam usaha mencapai pembangunan lestari, mampan dan inklusif.

“Apa yang kementerian saya usahakan ini adalah untuk menentukan supaya profesionalisme ini dipupuk dan dibenarkan bagi dilaksanakan tanpa ganggu gugat oleh mana-mana pihak.

“Kita sambut baik kedatangan mereka (PlanMalaysia) dan kedatangan mereka ke Wilayah Persekutuan, hasil daripada rasionalisasi yang dilakukan 2018 dan mereka bersama dengan Jabatan Landskap Negara.

“Setakat ini PlanMalaysia ada lebih 700 kakitangan di ibu pejabat dan di PBT. Peranan mereka agak luas juga,” katanya. – MalaysiaGazette