Khalid Samad

PUTRAJAYA – Projek lebuh raya bertingkat Bangsar-Damansara yang sudah bermula akan diteruskan, namun impak pembinaannya terhadap komuniti akan dikurangkan, kata Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.

Beliau berkata Perintah Pembangunan projek itu telah dikeluarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, selepas kontrak pembangunan projek itu ditandatangani.

“Atas sebab itu, kita terpaksa meneruskan komitmen yang ditandatangani sebelum ini, kerana sebarang langkah menghentikan pembangunan projek tersebut melibatkan implikasi undang-undang,” katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Hari Wilayah Persekutuan peringkat PLANMalaysia di sini hari ini.

Hadir sama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan.

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dalam kenyataan bersama hari ini, membidas projek lebuh raya tersebut, kerana pembinaannya menerima bantahan keras penduduk, selain menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) segera menjalankan siasatan.

Mereka juga mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut membiayai sebahagian daripada kos projek bernilai RM211.5 juta, dan bimbang perbelanjaan besar menggunakan dana awam oleh DBKL, untuk projek pembangunan swasta itu yang tidak dilakukan melalui tender terbuka.

Projek tersebut dilancarkan pada Mac 2018 oleh Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, bertujuan mengurangkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Lebuh raya sepanjang 1.34 kilometer menghubungkan Jalan Semantan ke persimpangan Lebuhraya Sprint dengan Jalan Maarof itu akan memendekkan perjalanan dari Bangsar ke Pusat Bandar Damansara.

Khalid berkata apa yang boleh dilakukan kerajaan ketika ini ialah, mengurangkan impak pembangunan tersebut seperti yang dilakukan terhadap projek pembangunan di Taman Rimba Kiara (TRK), Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Komitmen terhadap kawasan itu juga telah bermula, seperti pembangunan kawasan komersial dan atas faktor itu, apa yang boleh dilakukan ialah meneruskan projek tersebut dengan skala pembangunan dikecilkan sebagaimana TRK,” katanya.

Sementara itu, Nor Hisham berkata beliau membuka pintu seluas-luasnya kepada SPRM bagi menjalankan siasatan terhadap DBKL, jika wujud elemen salah laku dalam projek berkenaan.

Beliau turut memohon pihak yang terlibat dalam urusan projek itu sebelum ini untuk tampil menjelaskan kedudukan sebenar, walaupun mereka tidak lagi berkhidmat di DBKL.

— BERNAMA