Datuk Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Putra Malaysia menzahirkan rasa gelisah dengan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk memansuhkan hukuman mati mandatori dalam pindaan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu tidak boleh menerima cadangan pindaan  yang mahu menggantikan kepada hukuman penjara seumur hidup yang disifatkan sebagai tidak adil.

“Tindakan ini pada Putra amat tidak boleh diterima kerana fokus utama pimpinan negara dan kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan umum dan juga keselamatan negara.

“Prinsip utama kerajaan menguatkuasakan undang-undang menghukum pesalah, bukan melepas penjenayah yang melakukan kesalahan berat. Inilah yang dikatakan pentingnya undang-undang dan keadilan dalam sistem pentadbiran negara,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Mahathir ketika bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Bulan Antidadah Kebangsaan 2020 di Putrajaya pada Selasa dilaporkan berkata, kerajaan mungkin meminda hukuman mati mandatori bagi pengedaran dadah kepada penjara seumur hidup.

Perdana Menteri itu berkata, kini sudah tiba masa untuk kerajaan menilai dan mengkaji semula semua undang-undang berkaitan pengedaran dan penyalahgunaan dadah mengikut kesesuaian perubahan trend kegiatan berkaitan dadah semasa.

Ketika ini, hukuman untuk kesalahan penyalahgunaan dadah di negara ini hanyalah mati mandatori.

Ibrahim seterusnya turut merujuk pindaan Aktar Dadah Berbahaya 1952, yang mana ketika itu ada dua pilihan hukuman, iaitu mati atau penjara seumur hidup.

Kemudian katanya, akta itu dipinda sekali lagi pada 1983 dengan hanya memberi satu pilihan sahaja, iaitu mandatori mati bagi kes berkaitan dadah.

“Pada waktu itu aktiviti pengedaran dadah makin menjadi-jadi dan hakim pula mempunyai dua pilihan untuk menjatuhkan hukuman, iaitu penjara seumur hidup dan mati, tetapi banyak kecenderungan kepada hukuman penjara seumur hidup.

“Maka sebab itu pada tahun 1983, akta berkenaan dipinda dan mengekalkan mandatori mati. Kalau hukuman mati dimansuhkan dan dikekalkan kepada hukuman penjara seumur hidup, pada Putra, ianya amat merbahaya,” katanya.

Beliau berkata, mati mandatori sebelum ini adalah hukuman yang diletakkan di bawah 11 perkara jenayah, antaranya pengganas, jenayah terancang, pembunuhan, penculikan, penderhakaan, senjata dan penjenayah kartel dadah.

Pada Putra, tegas beliau, hukuman mandatori mati itu mesti dikekalkan untuk semua jenayah yang emlibatkan kematian sama ada dadah, pengganas, pembunuhan, penculikan atau rogol dan seumpamanya.

“Jika sesiapa sahaja menjadi mangsa pembunuhan, hukumannya mestilah juga gantung sampai mati iaitu hukuman yang setimpal dengan kelakuan jenayah yang dilakukan dan ini baru memberi keadilan kepada keluarga mangsa.

“Kalau dipinda kepada penjara seumur hidup, kita bimbang akan banyak berlaku dalam proses perbicaraan nanti, seperti melobi untuk melepaskan mereka yang dituduh dengan pelbagai cara.

“Sedangkan, sekarang ini rasuah berlaku di mana sahaja untuk melepaskan hukuman mandatori mati dan ini seolah hendak memberi pembelaan kepada penjenayah, bukan hendak menjaga kepentingan awam,” ujar beliau.

Beliau menyarankan kepada menteri hal ehwal undang-undang bahawa tanggungjawab kerajaan bukan sahaja memikir, tetapi melaksanakan kepentingan umum dan menjaga kepentingan keselamatan negara lebih daripada hendak melepaskan penjenayah.

Dr. Ibrahim berharap, cadangan kerajaan itu tidak ada kaitan dengan penangkapan raja dadah di Pulau Pinang baru-baru ini yang rampasan bernilai bilion ringgit.

“Kalau penjenayah itu ditangkap dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, sekurang-kurangnya dia menjalani hukuman penjara selama 30 tahun, tetapi rolak rebat dan diskaun, tinggal 20 tahun.

“Tempoh 20 tahun itu pula setelah ditolak turun naik di mahkamah tinggi, mahkamah persekutuan dan mahkamah rayuan, akhirnya baki hukuman tinggal 10 tahun.

“Namun, jika penjenayah itu tunjuk kelakuan baik, jumlah hukuman dikurangkan lagi, dan akhirnya penjenayah itu bebas dari penjara dan boleh menikmati hasil dari aktiviti pengedaran dadah berbilion ringgit,” katanya.

Beliau bertanya, adakah itu semangat rule of law Malaysia dan siapakah golongan yang beiya hendak meminda akta itu? – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast