Gambar Hiasan. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020

BANGI – Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) pada Selasa menolak rayuan lebih 400 peniaga pasar malam Seksyen 16, Bandar Baru Bangi untuk kekal berniaga di tapak berkenaan.

MPKj dalam surat kepada Badan Bertindak Pasar Malam Seksyen 16 berkata, pihaknya tidak dapat mempertimbangkan rayuan tersebut.

“Pihak majlis kekal dengan keputusan untuk berpindah ke lokasi baru di Laman Niaga Komuniti, Bandar Baru Bangi berkuatkuasa pada 25 dan 29 Februari 2020 seperti yang telah diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Perniagaan dan Kesihatan Kawalan 12/2019 bertarikh 13 Disember, 2019 (Jumaat).

“Sehubungan itu, pihak tuan dan peniaga-peniaga pasar malam Seksyen 16, Bandar Baru Bangi perlu diarahkan dengan arahan Majlis Perbandaran Kajang yang ditetapkan,” demikan menurut surat yang ditunjukkan kepada MalaysiaGazette.

MKPj dalam pada itu berkata, tindakan undang-undang dan penguatkuasaan akan dilaksanakan sekiranya para peniaga itu gagal mematuhi arahan tersebut.

“Pihak anda adalah dilarang menjalankan sebarang aktiviti perniagaan di lokasi Seksyen 16, Bandar Baru Bangi (selepas 25 dan 29 Februari),” kata MPKj.

AJK Badan Bertindak Pasar Malam Bandar Baru Bangi, Muhammad Sadri Noordin bercakap kepada media mengenai aduan peniaga pasar malam yang enggan berpindah dari tapak pasar malam yang telah wujud sejak 35 tahun lalu di Seksyen 16 Bandar Baru Bangi, Selangor. foto IQBAL BASRI, 18 FEBRUARI 2020

Kelmarin, MalaysiaGazette memaparkan keluhan lebih 400 peniaga pasar malam kawasan itu yang membantah arahan berpindah oleh MPKj ke tapak baru.

Menurut mereka, tapak pasar malam baru yang disediakan pihak majlis tidak sesuai, tidak selamat dan tidak mesra kepada Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dalam pada itu, MPKj juga menolak permohonan badan bertindak pasar malam Seksyen 16 untuk mengadakan sesi dialog dengan pihak mereka.

Sesi dialog yang bakal diadakan esok itu bertujuan untuk mendapatkan pencerahan isu berkenaan bersama wakil MPKj, Ahli Majlis, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Ramal, Mazwan Johar.

“MPKj tidak bersetuju untuk mengadakan sesi dialog yang telah ditetapkan oleh pihak tuan,” kata MPKj lagi.

Sebelum ini, Ahli Jawatankuasa Bertindak Peniaga Pasar Malam Seksyen 16, Muhammad Sadri Noordin berkata, arahan itu dibantah kesemua peniaga pasar malam di sini kerana tapak baharu yang ditawarkan MPKj jauh lebih kecil dan berhampiran dengan pencawang elektrik. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2020/02/19/400-peniaga-risau-perniagaan-lingkup-jika-pindah-ke-tapak-baharu