Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap pada sidang media mengenai Inisiatif Pembaharuan Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Penghulu Mukim Batu Jalan Sungai Tua, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kerajaan Negeri Selangor memberi jaminan penempatan Orang Asal di Hutan Simpan Kuala Langat Utara tidak akan terjejas susulan cadangan memansuhkan status Hutan Simpan Kekal (HSK).

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sehingga kini belum ada tindakan mengeluarkan pewartaan terhadap hutan simpan tersebut kerana kerajaan negeri masih dalam fasa mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan, rakyat termasuklah Orang Asal.

“Harus saya maklumkan bahawa warta tersebut masih belum dikeluarkan, sebaliknya masih melalui proses penyediaan laporan bertulis dan hebahan serta notis penyiasatan awam.

“Proses ini akan berlangsung sehingga 5 Mac 2020. Ini bermakna Kerajaan Negeri Selangor sedang mendapat maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, khususnya rakyat umum, masyarakat Orang Asal dan NGO.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak akan membuat keputusan berkenaan isu ini sebelum meneliti setiap pandangan daripada rakyat umum serta menghalusi laporan-laporan teknikal yang merangkumi analisa kos faedah berkait dengan keputusan ini.

“Kerajaan Negeri turut memperakui hak Orang Asal di bawah undang-undang seperti yang diputuskan dalam kes Sagong Tasi. Pentadbiran ini akan mencari penyelesaian yang terbaik agar penempatan Orang Asal tidak diganggu. Sebarang pertikaian berkenaan hal ini akan dinilai semula,” katanya menerusi kenyataan.

Katanya, Selangor akan menggantikan pewartaan Hutan Simpan Kekal yang baharu dengan yang telah dikeluarkan mengikut jumlah keluasan dan keadaan ekologi yang sama.

Malah ujarnya, dalam isu Hutan Simpan Kuala Langat ini, tanah yang bakal digantikan mempunyai lebihan 300 ekar.

“Harus saya tekankan di sini komitmen kerajaan negeri untuk mensasarkan peratusan jumlah Hutan Simpan Kekal di negeri Selangor meningkat sebanyak 32 peratus menjelang 2025 berbanding sekarang pada 31 peratus yang meliputi kawasan kira-kira 250,209 hektar termasuk Hutan Darat Asli, Hutan Paya Gambut dan Hutan Paya Laut.

“Sebarang pewartaan keluar Hutan Simpan Kekal akan digantikan terus dengan pewartaan masuk Hutan Simpan Kekal dengan jumlah keluasan dan keadaan ekologi yang sama. Terdapat lebihan 300 ekar berbanding jumlah asal yang akan diganti dalam cadangan pewartaan keluar Hutan Simpan Kuala Langat Utara ini,” katanya lagi.

Amirudin sebelum ini berkata, pemansuhan status Hutan Simpan Kuala Langat Utara dibuat kerana 40 peratus kawasan itu tidak lagi mempunyai elemen hutan dara, selain mengelakkan aktiviti pembakaran hutan secara haram berulang.

Menurutnya, landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) juga akan dilaksanakan di kawasan itu.

Antara yang menentang tindakan tersebut adalah Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythmoorthy termsuklah Otai Reformis, Malaysian Nature Society (MNS) dan Pusat Alam Sekitar Global (GEC).

Difahamkan, petisyen atas talian yang dinamakan “Selamatkan Hutan Simpan Kuala Langat” juga telah diwujudkan.

Sementara itu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menafikan laporan berita sebuah portal berita tempatan bahawa pembangunan Selangor Business Capital akan dijalankan di atas rizab hutan simpan Kuala Langat Utara.

Ujar perbadanan itu, artikel yang diterbitkan pada 21 Februari 2020 bertajuk “Kerajaan Selangor mahu bina taman perniagaan mega di rizab hutan” tidak tepat sama sekali dan telah mengelirukan masyarakat.

Berita yang telah dibincangkan secara terbuka di media sosial itu juga telah mengakibatkan nama baik PKNS tercalar.-MalaysiaGazette