Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah NAFAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi pada sidang media mengenai penemuan audit forensik dan kajian semula kewangan NAFAS di Ibu Pejabat NAFAS, Kota Damansara, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 21 FEBRUARI 2020.

PETALING JAYA – Ahli Jemaah Pengarah (AJP) Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) yang baharu menemui sebanyak tujuh salah laku “besar” yang telah dibuat oleh AJP terdahulu.

Penemuan itu diperoleh selepas Nafas menjalankan audit forensik terhadap akaun-akaun yang dilaksanakan oleh sebuah firma audit terkenal antarabangsa, kata Pengerusi AJP Nafas, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi.

Menurutnya, hasil pengauditan selama empat bulan, dikesan beberapa perkara luar biasa yang menyalahi tatacara kewangan dan tadbir urus sesebuah syarikat dan melibatkan kepentingan peladang.

“Perkara pertama yang kita temui iaitu pembelian Bangunan Ibu Pejabat Nafas di Kota Damansara yang dibeli dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.

“Kes ini sangat jelas bagaimana kepentingan atau berlaku pecah amanah dan ia telah dimaklumkan kepada Pendaftar Pertubuhan Peladang serta tindakan perundangan telah dilakukan pada 4 Februari 2020 terhadap Ahli-ahli Jemaah Pengarah yang terlibat dalam keputusan pembelian itu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Phahrolrazi berkata, salah laku kedua yang ditemui menerusi pengauditan berkenaan iaitu pembelian ladang kelapa sawit di Sungai Karap, Miri yang dibuat melebihi harga pasaran sebanyak RM12 juta.

Katanya, ladang itu dibeli dengan nilai RM135 juta selepas ditawarkan pada harga RM145.4 juta sedangkan nilai sebenarnya mengikut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) adalah hanya RM122.8 juta.

“Keputusan membeli ladang ini juga dibuat secara tergesa-gesa tanpa menunggu laporan viability study.

“Terdapat potensi percanggahan kepentingan dalam pembelian ladang ini dan kebarangkalian wujud campurtangan dalam urusan jual beli,” ujarnya.

Perkara ketiga yang turut ditemui kata beliau, pembelian baja tanpa mengikut prosedur biasa hingga menyebabkan Nafas terpaksa menanggung kerugian.

Ujarnya, Nafas terpaksa membaik pulih kandungan baja yang telah dikeluarkan oleh pembekal dengan nilai kos sebanyak RM70 juta bagi 40,000 tan metrik.

Tambahnya, kos yang terpaksa dikeluarkan bagi tujuan pembaik pulihan bagi setiap satu tan metrik pula adalah sebanyak RM700 hingga RM800.

Bagi penemuan keempat pula, Nafas mendapati bangunan miliknya iaitu Wisma Peladang di Jalan Bukit Bintang meragukan apabila kadar sewaan yang dikenakan lebih rendah daripada nilai sewaan semasa.

Katanya, bangunan itu telah disewa kepada sebuah syarikat pada 2002 dengan pajakan sehingga 2022.

Bagaimanapun katanya, pada 2006 satu lagi pajakan telah dibuat dengan penambahan masa selama 20 tahun lagi.

“Apabila disemak kadar sewa semasa pada tahun 2015, kadar sewa adalah RM2.5 juta setahun walhal kadar sewa semasa adalah RM3.7 juta.

“Akibat daripada itu Nafas telah kerugian sebanyak RM1 juta hampir setiap tahun,” katanya.

Nafas juga menemui kecuaian dalam pembelian stok membabitkan baja bio serbaguna yang dibeli secara tergesa-gesa tanpa kajian.

Selain itu, pembayaran zakat perniagaan Nafas kepada penerima yang layak juga didapati telah dibuat kepada penerima yang tidak layak.

Perkara itu antaranya pembayaran zakat perniagaan kepada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kemaman berjumlah RM500,000 dan Pertubuhan Peladang Negeri Sarawak berjumlah RM100,000.

“Tiada bukti menunjukkan pembayaran ini diagih kepada penerima yang sah (golongan asnaf).

“Bagi memastikan perkara ini tidak berulang, penambahbaikan proses pengagihan zakat telah dilaksanakan Nafas dengn program-programm dilakukan bersama pusat zakat setiap negeri.

Sementara itu, penemuan terakhir Phahrolrazi berkata, terdapat konflik kepentingan di Nafas Feedmills Sdn Bhd yang terletak di Muar, Johor.

Katanya, kilang memproses makanan haiwan itu telah dibeli pada nilai lebih tinggi berbanding harga pasaran iaitu sebanyak RM14.5juta sedangkan nilai JPPH hanya RM11.7 juta

“Kita telah laporkan kepada SPRM kerana terdapat unsur-unsur konflik kepentingan kerana pembelian dibuat oleh anak bekas AJP Nafas,” tegasnya. – MalaysiaGazette