Syed Zainal Albar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengumumkan langkah-langkah liberalisasi Skim Persaraan Swasta (PRS) untuk memacu daya saing industri.

Untuk meningkatkan pertumbuhan jangka panjang untuk ahli-ahli PRS, langkah-langkah tersebut akan memberikan lebih kelonggaran dalam peruntukan aset untuk dana PRS, seperti membenarkan dana konservatif dilabur dalam pasaran asing dan dana PRS melabur dalam dana dagangan bursa berdasarkan emas fizikal untuk meningkatkan kepelbagaian aset dalam pelaburan alternatif.

“Industri PRS menawarkan saluran alternatif untuk menambah simpanan persaraan mereka. Langkah-langkah ini telah diguna pakai selepas proses semakan oleh SC, melalui perundingan bersama industri dan Pentadbir Pencen Swasta, untuk
menggalakkan ahli-ahli PRS meningkatkan pelaburan mereka.

“Sementara itu, PRS juga membolehkan ahli-ahlinya mengakses dana untuk meringankan beban kewangan ketika mereka memerlukannya,” menurut Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.

Memandangkan jangka hayat rakyat Malaysia yang lebih panjang, penyedia PRS kini perlu secara beransur-ansur memindahkan pelaburan ahli-ahlinya kepada dana kurang berisiko mengikut umur mereka, bersesuaian dengan kadar toleransi risiko mereka.

Menurut beliau, ini akan membantu mengurangkan pendedahan risiko pasaran bagi ahli yang memilih dana tersedia atau ‘default fund’ (pertumbuhan, sederhana dan konservatif) yang sesuai dengan usia mereka.

Susulan pengumuman Bajet 2020, ahli PRS kini boleh membuat pengeluaran pra-persaraan tanpa dikenakan penalti cukai untuk tujuan penjagaan kesihatan dan perumahan.

Ahli-ahli dibenarkan membuat pengeluaran untuk diri sendiri atau ahli keluarga terdekat yang meliputi 91 jenis penyakit dan pembiayaan peralatan perubatan atau ubat-ubatan untuk penyakit-penyakit yang diluluskan.

Pengeluaran untuk perumahan meliputi pembiayaan atau pembelian harta kediaman, atau pengurangan pinjaman perumahan. Butiran lanjut mengenai langkah-langkah penarikan boleh didapati di laman sesawang Pentadbir Pencen Swasta (PPA).

PRS merupakan skim simpanan caruman jangka panjang dan pelaburan sukarelayang ditubuhkan oleh SC pada 2012 untuk membantu orang ramai menabung untuk persaraan mereka.

Kini terdapat lapan penyedia PRS yang memberi perkhidmatan kepada lebih 455,000 ahli di seluruh negara.

Setakat akhir 2019, jumlah keseluruhan industri ini adalah sebanyak RM3.5 bilion. – MalaysiaGazette