Datuk Hasni Mohammad

JOHOR BAHRU – UMNO Johor menegaskan tidak akan sesekali membelakangkan kepentingan rakyat termasuk ahli-ahli akar umbi dalam sebarang usaha untuk mencapai keputusan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, parti itu perlu berhati-hati dan mengambil segala langkah yang perlu sekiranya mereka mahu berbaik semula dengan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Kita akui itu dan dan kepada sentimen di bawah penjelasan yang jelas perlu dibuat sekiranya sebarang keputusan untuk dicapai atau pun telah dicapai dengan pihak terlibat, ini kerana jika kita membelakangkan kepentingan rakyat atau kita dilihat tidak mengambil kepentingan rakyat, kita akan ditolak, jadi kita perlu berhati-hati.

“Kita tidak boleh dilihat khususnya di kalangan pemimpin membuat penjelasan berbeza ada pula yang katakan dah ada apa yang dikatakan sebagai Pakatan Nasional dan sebagainya, ia tidak ada kebenaran sama sekali,” katanya selepas Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Justeru, Hasni berkata, UMNO mengesyorkan kepada pucuk pimpinan parti bahawa mereka hanya akan menyokong Presiden parti sekiranya proses peralihan itu dibuat dengan proses yang betul dan dipersetujui semua pihak yang terlibat.

Tambahnya, UMNO Johor tidak menyatakan bahawa mereka sokong Dr Mahathir tanpa proses sebab, sudah jelas beliau adalah Pengerusi Pakatan Harapan (PH), sekali gus adalah tidak masuk akal untuk UMNO menyokong Pengerusi PH.

“Saya tidak boleh bercakap sebagai kerajaan, saya cakap dalam konteks parti, tak masuk akal kita menyokong Pengerusi PH.

“Jadi sebab itu proses terlebih dahulu perlulah…mungkin sokongan boleh diberikan sekiranya Tun bukan lagi Pengerusi PH, mungkin ya, saya tak cakap akan sokong, kita cakap berdasarkan kedudukan itu kita tidak akan sokong usaha Pengerusi PH,” katanya.

Hasni menegaskan, UMNO Johor lebih mengutamakan proses yang betul supaya ia tidak mengecewakan ahli-ahli dan penyokong di peringkat akar umbi dan lebih lagi tindakan UMNO itu haruslah dielak daripada untuk menjaga kepentingan individu atau memenuhi harapan individu tertentu.

Justeru, katanya, ketetapan yang UMNO Johor buat adalah apa yang sedang berlegar dalam media sosial itu adalah sesuatu yang tidak ada kepastian sekali gus tidak akan menyokong Pengerusi PH sekiranya ia dijalankan secara jalan belakang

“Jadi kita akan hanya membuat keputusan setelah Presiden kita jumpa dengan PM, apakah ada kebenaran atau tidak apa yang berlegar kerana kita tidak akan merujuk kepada perkara dalam media sosial atau yang dicakap di bawah, ia perlulah ada kesahihannya.

“Untuk itu, jika kita ikut proses atau prosedur maka back door itu tidak timbul. Macam mana nak buat satu atau teruskan sebagai PM kalau tidak ada persetujuan dalam kalangan parti dalam PH, maka. kalau dah takde persetujuan dan sekiranya pihak lain pula terlibat, jadi itu bukan back door,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast