Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor meninggalkan Bukit Aman selepas selesai memberi keterangan lebih sejam pagi tadi selepas hadir pukul 10 pagi tadi.
Bekas Perdana Menteri dan juga bekas wanita pertama negara itu memasuki Bukit Aman menerusi pintu B sekaligus mengecewakan 20 orang pemberita, jurufoto dan jurukamera mewakili pelbagai agensi media tempatan dan antarabangsa yang menunggu untuk merakam kemunculan pasangan itu seawal sejak 8 pagi lagi di bawah pokok gergasi hadapan Pondok Pengawal Keselamatan premis itu.
Kedua-dua mereka diminta hadir ke Bukit Aman untuk dirakam keterangan oleh polis Bahagian Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman berhubung pendedahan rakaman audio perbualan yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) awal Januari lalu.