Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta Tommy Thomas kembali mematuhi dasar kerajaan dan mengutamakan keselamatan negara atau melepaskan terus jawatan sebagai Peguam Negara.

Beliau berkata, keputusan Tommy untuk menarik balik pertuduhan ke atas 12 individu yang telah dituduh di mahkamah adalah disandarkan kepada keputusan kerajaan Australia dan Sri Lanka.

“Walau bagaimanapun, keselamatan negara adalah tanggungjawab kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri,” katanya dalam hantaran di laman Facebook.

Maszlee yang merupakan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu berkata, kegagalan Peguam Negara mengambil kira dasar kerajaan sebelum membuat keputusan bukan sahaja salah, tetapi bertentangan dengan peranannya selaku Penasihat Undang-Undang utama Kerajaan Persekutuan.

“Saya mengambil maklum terdapat peranan yang berbeza apabila YBhg Tan Sri Tommy Thomas menjalankan tugas sebagai Pendakwa Raya dan apabila beliau berperanan sebagai Peguam Negara iaitu Penasihat Undang-Undang.

“Namun dalam menjalankan tugas sebagai Pendakwa Raya, YBhg Tan Sri Tommy Thomas tidak boleh sama sekali membelakangi Dasar Kerajaan,” katanya.

Maszlee mengambil contoh cabaran terhadap keabsahan Seksyen 13 SOSMA di mahkamah yang mana Timbalan Pendakwa Raya diarahkan untuk tidak membantah (concede) dengan hujahan peguambela tidak mempunyai analisis yang mendalam.

“Bagaimanapun saya bersyukur, terdapat dua orang Hakim Mahkamah Tinggi yang telah menolak cabaran tersebut,” katanya.

Beliau berkata, kuasa untuk menyenaraikan sesuatu kumpulan sebagai kumpulan pengganas atau sebaliknya adalah di bawah kuasa Menteri Dalam Negeri.

“Selagi mana ia tidak diubah oleh Menteri Dalam Negeri, maka ia kekal sebagai keputusan kerajaan yang bertanggungjawab untuk menjaga keselamatan negara melalui agensi serta badan kerajaan seperti PDRM,” kata ahli Parlimen Simpang Renggam itu. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.