Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Majlis Himpunan 6 Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Pusat Konvensyen Bangi, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 22 FEBRUARI 2020.

BANGI – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim
menggesa kumpulan tertentu di dalam partinya supaya menghormati keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berhubung penetapan tarikh peralihan kuasa Perdana Menteri.

Beliau turut merayu agar tidak ada perkara-perkara di luar jangkaan dibuat oleh kumpulan-kumpulan terbabit serta tidak akan membenarkan sebarang bentuk serangan ataupun ancaman berlaku.

“Yang kita capai semalam adalah konsensus dan ini termasuk keputusan saya dan Keadilan (Parti Keadilan Rakyat). Oleh yang demikian Parti Keadlian secara keseluruhan harus hormat dan mematuhi keputsan tersebut,” katanya pada sidang media selepas Program Himpunan Enam Dekad Keluarga Besar Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di sini hari ini.

Anwar diminta mengulas mengenai laporan sebuah laman portal hari ini yang menyiarkan kumpulan yang pro terhadapnya tetap dengan pendirian sebelum ini untuk mendesak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berundur dan menyerahkan kuasa pada Mei tahun ini, bukannya selepas Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) pada November.

Desakan itu akan dibuat ekoran keputusan mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi yang dilihat tidak memihak kepada Anwar.

Dr Mahathir selepas mempengerusikan mesyuarat itu menyatakan peralihan kuasa antara beliau dan Anwar tetap akan berlangsung selepas APEC.

Bagaimanapun kata Dr. Mahathir, ia terpulang kepadanya sama ada mahu melepaskan jawatan tersebut atau pun tidak.

Dr Mahathir turut memberitahu, tiada tarikh atau masa yang spesifik ditetapkan untuk proses peralihan kuasa itu mengambil tempat sambil menegaskan keputusan tersebut diputuskan oleh mesyuarat Majlis Presiden PH sebulat suara.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai dakwaan situasi mesyuarat malam tadi yang dikatakan tegang, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ia merupakan perkara biasa yang berlaku dalam sesebuah mesyuarat yang demokratik.

“Mesyuarat ni kalau demokratik dia teganglah sikit, biasalah. Ucapan saya tadi pun tegang sikit tapi saya tak fikir itu jadi satu isu.

“Yang pentingnya orang tidak pertikai ada transisi, tidak ada orang pertikai keputusan kita Tun Mahathir Perdana Menteri ke tujuh, Anwar Perdana Menteri ke lapan,” ujarnya. – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.