TANGKAK – Yayasan Keamanan Global Malaysia (GPFM) bekerjasama dengan Micron Technology, membantu komuniti Orang Asli di Johor dan Negeri Sembilan mendapatkan bekalan air bersih bagi keperluan harian mereka menerusi inisiatif Projek AquaConnect.
Projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu akan memberi manfaat kepada Orang Asli di empat buah kampung menerusi dana RM1 juta untuk menyediakan sistem penyediaan bekalan air bersih yang sumbernya diambil dari sungai berhampiran.
Ketua Pegawai Eksekutif GPFM, Dr Teh Su Thy berkata, projek itu akan menyediakan akses penting bagi air bersih kepada masyarakat yang berada di pedalaman, selain meningkatkan kemudahan sanitasi di empat kampung terbabit.
“Kita di GPFM ini akan sentiasa melakukan aktiviti berbentuk CSR termasuk kepada masyarakat Orang Asli, sekali gus menangani isu kebolehcapaian air bersih,” katanya dalam kenyataan.
Projek AquaConnect dilancarkan di Kemudahan Micron Muar, Tanjung Agas, di sini, pada 27 November lalu.
Micron Technology merupakan pengeluar cip memori berpangkalan di Amerika Syarikat yang beroperasi di negara ini.
Turut hadir Naib Presiden Korporat Bahagian Pemasangan serta Operasi Ujian NAND (Singapura dan Malaysia) Micron Technology, Amarjit Sandhu.
Sementara itu, Amarjit Sandhu berkata, projek tersebut akan memberi manfaat kepada 1,700 penduduk Orang Asli daripada 460 buah keluarga.
Beliau berkata, projek itu dijalankan di Kampung Sungai Mahang, Negeri Sembilan dan tiga di Johor iaitu Kampung Sungai Mering, Tangkak serta Kampung Kudung dan Kampung Kemidak, Segamat.
“Dalam tempoh 12 bulan akan datang, penduduk terbabit akan mendapat manfaat daripada menaik taraf sistem bekalan air mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
















