Dr. Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Dapatan terkini kajian COVID-19 menunjukkan hampir 80 peratus pesakit yang dijangkiti virus berkenaan tetapi hanya mengalami gejala ringan yang tidak memerlukan rawatan spesifik atau ubat antiviral.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, kebanyakan pesakit hanya memerlukan rawatan simptomatik seperti demam, batuk dan selsema.

Bagaimanapun, isolasi perlu dijalankan bagi mengelakkan penularan penyakit ini kepada orang lain, katanya.

“Hal ini kerana, kebanyakan kes yang telah disahkan positif, sistem imun badan manusia akan menghasilkan antibodi spesifik bagi melawan virus ini.

“Bagaimanapun, terdapat juga golongan yang tidak mempunyai sistem imun yang kuat, contohnya warga emas, di mana jangkitan virus COVID-19 ini menyebabkan komplikasi yang teruk dan memerlukan bantuan ubat-ubatan seperti antiviral,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pesakit telah diberikan rawatan antiviral (lopinavir/Ritonavir) dan bantuan oksigen bagi gejala yang dihadapinya.

Setelah lebih 72 jam diberikan rawatan, kes telah menunjukkan perubahan kesihatan yang baik.

Oleh yang demikian ujian ulangan pengesahan COVID-19 telah dijalankan sebanyak dua kali dengan jarak masa 24 jam bagi setiap satu ujian.

Kedua-dua ujian ulangan ini menunjukkan keputusan negatif. -MalaysiaGazette