Anwar Ibrahim bersama Dr. Mahathir Mohamad.

PUTRAJAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau harus bersabar dengan proses peralihan kuasa yang bakal mengambil tempat dijangka selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) biar pun tiada tarikh atau masa spesifik ditetapkan.

Menurut Anwar, pendirian gabungan Pakatan Harapan (PH) amat jelas dan memutuskan untuk memberi kuasa penuh kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membuat keputusan mengenai tarikh peralihan kuasa.

“Tidak ada (perasaan tak puas hati). Kita akan memastikan Tun Mahathir selaku PM dapat menjalankan tugas dengan penuh.

“Dalam perbincangan saya sendiri cadangkan supaya Tun Mahathir diberi peluang mentadbir dan bila ditetapkan masa yang sesuai (peralihan kuasa berlaku) saya kena sabar,” katanya dalam sidang media bersama Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana (YKP), sebentar tadi.

Dalam mesyuarat hari ini, Dr Mahathir berkata Majlis Presiden PH sebulat suara menyerahkan kepada beliau untuk menentukan tarikh peralihan kuasa.

Pengerusi PH itu berkata, beliau tetap dengan pendirian bahawa peralihan kuasa kepada Anwar akan dilaksanakan selepas Persidangan APEC. -MalaysiaGazette

3 Komen

Comments are closed.