Saifuddin Nasution Ismail

SEPANG – Keputusan untuk membiarkan Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan tarikh untuk beliau melepaskan jawatan Perdana Menteri adalah yang terbaik buat masa ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, apa yang penting ialah Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan tetap berfungsi dengan baik walaupun banyak spekulasi tercetus, termasuk isu peralihan kuasa.

“Seperti diumum Perdana Menteri semua pihak menyatakan pandangan kita menimbang setiap perkara dan itu keputusan terbaik yang kita sepakati yang dibacakan Perdana Menteri malam tadi.

“Paling penting Pakatan Harapan tetap berfungsi begitu juga kerajaan. Di celah-celah hiruk pikuk luar sana para penganalisis peramal keputusan itu saya anggap paling baik dalam konteks sekarang,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pasaraya Desa Segar, di sini.

Semalam, selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Dr. Mahathir berkata, peralihan kuasa antara beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap akan berlangsung selepas persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC ) tetapi terpulang kepadanya sama ada mahu melepaskan jawatan tersebut atau pun tidak.

Menurutnya tiada tarikh atau masa yang spesifik ditetapkan untuk proses peralihan kuasa itu mengambil tempat sambil menegaskan keputusan tersebut diputuskan oleh mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan sebulat suara.

Saifuffin berkata, mesyuarat malam tadi bukan hanya tertumpu kepada peralihan kuasa tatapi ia juga memberi perhatian kepada pindaan Perlembagaan PH, khususnya berkenaan jawatan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita.

Tambah beliau, sengan memasukkan Fasal 8.3.9 pelantikan Ketua Pemuda dan Ketua Wanita PH boleh dilakukan menerusi cadangan setiap sayap parti komponen.

“Sebahagian besar masa semalam kita peruntukkan tentang menyempurnakan Mesyuarat Agung PH.

“Malam tadi kita telah menjalankan dengan sempurna EGM PH, kita kekalkan kepimpinan dan strukturnya, kita luluskan penyata kewangan.

“Kita juga mengadakan EGM (Persidangan Agung Luar Biasa) malam tadi. Kita dapati selama ini perkara tentang kedudukan Ketua Pemuda PH dan Ketua Wanita PH tidak ada dalam perlembagaan undang-undang tubuh,” tambah Saifuddin.

Sementara Saifuddin berkata, beliau tidak mengetahui tentang pertemuan yang diadakan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dengan penyokongnya selepas Mesyuarat Majlis Presiden PH malam tadi.

Sumber memberitahu MalaysiaGazette, selain Azmin pertemuan itu dipercayai dihadiri Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Cabang PKR Batu Pahat, Datuk Rashid Hasnon di sebuah hotel di Putrajaya.

Bagaimanapun, butiran mengenai pertemuan itu tidak dinyatakan sumber berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kepada orang awam, dah diputuskan dah sehingga habis punggal! Nokhtah.

    Anda menter2i hancing bacin boleh lah tafsir sendiri kata2 Atok tu mengikut selera masing2 DEMI MENGUMBIRAKAN HATI MASING2! Kah..kah..kah…

Comments are closed.