Dr. Mahathir Mohamad

MIRI – Gabungan parti-parti pemerintah Sarawak akan memberikan sokongan penuh kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk terus menjadi Perdana Menteri.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang mempunyai 18 ahli pembuat dasar di Dewan Rakyat, juga bersedia untuk memihak kepada Dr Mahathir jika gabungan Kerajaan Persekutuan baru dibentuk.

Parti komponen GPS adalah Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Openg juga adalah Presiden PBB.

“Semua parti komponen GPS bersetuju bahawa GPS akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Dr M,” kata sumber kepada The Star.

Tambahnya: “Dengan keadaan politik tidak menentu di peringkat Persekutuan di Putrajaya, GPS dengan 18 kerusi Ahli Parlimen mesti membuat pendirian.

“Pilihan untuk menyokong Dr M juga bagi survival GPS di Sarawak.

“Pemimpin GPS merasakan dengan pilihan raya negeri yang bakal menjelang, kepentingan GPS di Sarawak akan dilindungi lebih baik dengan Dr M sebagai Perdana Menteri,” kata sumber itu.

Pemimpin GPS telah mengadakan mesyuarat tertutup di Kuching dan membincangkan situasi politik terkini di peringkat kebangsaan.

Sumber itu berkata, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan hasrat Pakatan Harapan untuk menjatuhkan GPS dan menawan Sarawak dalam pilihan raya negeri akan datang – mencetuskan kebimbangan berterusan kepada GPS. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.