Presiden IRAMA, Ayob Abd Majid.

KUALA LUMPUR – Peminat dan warganet diminta jangan menghangatkan lagi isu berkaitan hakcipta lagu Sumpah antara Naim Daniel dan Dayana Amerda.

Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (IRAMA), Ayob Abd Majid berkata, campurtangan mereka hanya menyebabkan situasi menjadi semakin buruk.

“IRAMA juga menuntut warganet menghentikan semua tohmahan dan kata cacian menerusi laman sosial dengan tidak mengecam mana-mana pihak,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Pihaknya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bersifat batu api termasuk memaki hamun wartawan hiburan tanah air.

“Pengamatan kami mendapati masalah ini boleh diselesaikan jika kedua-dua pihak tidak mengelak untuk bertemu bagi memberikan penjelasan selepas lagu ini dikomersialkan pada Julai 2019,” katanya.

“IRAMA beranggapan isu ini hanya diketahui secara mendalam oleh Dayana dan Naim dengan masalah ini bertambah rumit apabila ada dalam kalangan netizen atau peminat tidak dapat menerima rentetan kes ini,” ujarnya.

Menurut Ayob, selaku persatuan yang membela nasib artis, IRAMA akan sentiasa membantu penggiat seni yang berdepan masalah dalam industri seni tanah air.

“Kami akan mencari jalan sedaya upaya bagi memastikan kontroversi hak bersama lagu ini dapat diselesaikan dan lebih utama ia untuk kebaikan industri muzik tanah air,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Naim Daniel jangan sampai termakan ‘sumpah’ sendiri