Ketua Wirawati Parti Putra, Dr Asmah Razalli.

KUALA LUMPUR – Pergerakan Wirawati Putra Malaysia menyokong penuh Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) untuk merafak sembah Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri agar menggantikan Peguam Negara yang lebih berkemampuan dan telus.

Ketuanya, Dr. Asmah Razalli berkata, tindakan Tommy Thomas menghentikan 34 pertuduhan terhadap 12 tahanan di bawah SOSMA yang dijadualkan dibicara beberapa bulan lagi memberi impak negatif terhadap undang undang Malaysia.

Tegas beliau, ianya terlalu mudah ditukar, dipersenda dan mengancam keselamatan negara kerana kemungkinan semua pengganas yang disenarai kerajaan dan polis boleh dibuang pertuduhan mereka sesuka hati.

“Tindakan Tommy juga mencalar kredibiliti serta imej polis yang telah bekerja keras serta sedaya upaya mengekang penyebaran pengganas dan menahan segala jenis pengganas dari menyelinap lalu menghancurkan Kedaulatan negara.

“Kita memandang serius isu rule of law yang dimainkan oleh Peguam Negara dan mempersoalkan kredibiliti Tommy dalam menggalas tanggungjawab seberat ini untuk menjaga keselamatan Malaysia.

“Jadi, Wirawati Putra menyokong hasrat PPMM agar jawatan Peguam Negara diserahkan kepada individu yang lebih layak dan berkredibiliti, selain Tommy,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Jumaat lalu, Peguam Negara dilaporkan membuat keputusan memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang berdepan tuduhan menyokong kumpulan pengganas, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tommy menegaskan, keputusan itu dibuat selepas mendapati tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap semua tertuduh dengan mana-mana 34 pertuduhan yang dihadapi mereka.

Kata Tommy, beliau membuat keputusan itu mengikut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan yang membenarkannya menjalankan kuasa budi bicara selepas menilai kes berkenaan mengikut undang-undang.

Menurut Dr. Asmah, Wirawati sama sekali tidak bersetuju dengan keputusan itu, lebih lagi tiada langsung kenyataan dari polis bahawa LTTE bukan lagi suatu ancaman atau keganasan kepada Malaysia.

Bagaimanapun, Peguam Negara secara individu telah melangkaui kuasa eksekutif Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang masih menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas.

“Peguam Negara seolah menggunakan kuasa mutlak individu beliau tanpa kenyataan sokongan secara rasmi dari polis mahupun KDN mengenai penarikan pertuduhan ini.

“Tindakan Tommy itu dilihat berat sebelah dan boleh dikatakan penyalahgunaan kuasa dari pejabat Peguam Negara, sedangkan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence telah menolak ikat jamin OKT kes LTTE ini,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Fungsi AG itu sendiri telah disalahgunakan untuk kepentingan tertentu?

    Kes banglo murah tengah berjalan pun boleh dihentikan dan masing2 pihak berlakon BODOH kononnya terkejut!!! Dah macam cartoon!

    Kah..kah..kah..

Comments are closed.