Datuk Seri Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyifatkan apa yang berlaku kelmarin dan beberapa hari mendatang akan mendatangkan dampak besar kepada Malaysia.

“Dalam percaturan politik yang sedang berlaku ini, semoga pemenangnya adalah rakyat, tanah air kita Malaysia dan demokrasi.

“Kepada rakan-rakan di persada politik, cita-cita dan aspirasi politik sesungguhnya adalah wajar, selama pandai menginsafi batasan etika dan nilai.

“Teringat saya pesan Gus Dur. Kata beliau, ‘’yang lebih penting dari politik dan segalanya, adalah kemanusiaan”,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Rantau itu dalam hantaran di laman Facebook.

Mohamad yang tidak kelihatan di Hotel Sheraton mahu pun di mana-mana lokasi yang menyaksikan ada pemimpin UMNO terlibat dalam kemelut politik yang tercetus sejak beberapa hari lalu turut berdoa semoga Allah SWT memelihara dan memberikan kesejukan kepada bangsa dan negara ini.

“Sesungguhnya kekuasaan penuh berada dalam ketentuan Allah SWT jua. Dialah yang memberi kekuasaan kepada sesiapa yang dikehendaki Nya dan mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang kehendaki Nya,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast