Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (tengah) diiringi Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo (empat kiri) dan barisan kepimpinan tertinggi DAP bercakap semasa sidang media pada Mesyuarat Jawatankausa Kerja Pusat (CEC) DAP di Ibu Pejabat DAP, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – DAP akan mencalonkan kembali Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dalam mesyuarat tergempar Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) yang akan berlangsung malam ini.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng menegaskan, Dr Mahathir membuat keputusan melepaskan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini ekoran membantah percubaan untuk membentuk kerajaan baru dengan parti Pembangkang.

Katanya, Dr Mahathir tidak mahu bekerjasama dengan UMNO, tidak seperti sebahagian daripada pimpinan Bersatu dan puak yang tidak bersekongkol dalam PKR.

“Konsistensi dan prinsip untuk menolak UMNO harus disokong oleh semua rakyat Malaysia.

“DAP mencadangkan kepada majlis presiden PH pada mesyuarat tergempar malam ini untuk terus menamakan Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia bagi memenuhi dan menyempurankan janji-janji dalam manifesto pada pilihan raya umum lalu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Dalam pada itu Guan Eng berkata, DAP mengutuk pengkhianatan beberapa pemimpin dalam Pakatan Harapan (PH) sebelum ini dan ahli Parlimen yang terbabit dalam membentuk kerajaan pintu belakang.

Katanya, kerajaan pintu belakang itu ditubuhkan bagi menggantikan kerajaan sedia ada yang dipilih secara demokratik dengan gabungan baru iaitu Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO, Pas, MCA, MIC dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Tambah beliau, politik manipulasi pemimpin terbabit termasuk pembangkang dalam PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali telah menjejaskan usaha kerajaan untuk menangani masalah ekonomi rakyat dan sektor ekonomi Malaysia.

“Dalam menentang percubaan jahat ini bagi menumbangkan dan melemahkan mandat rakyat yang diberikan kepada PH, Dr Mahathir telah mengemukakan peletakan jawatannya sebagai Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu.

“Saya telah berjumpa Tun pagi ini di kediamannya dan terkejut apabila dia memaklumkan kepada saya mengenai hasratnya untuk meletakkan jawatan,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan, mesyuarat mengejut yang akan diadakan di ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya malam ini adalah bagi memenuhi dan menyampaikan janji-janji dalam Manifesto Pemilihan Umum PH bagi menolak UMNO yang korup. – MalaysiaGazette