KUALA LUMPUR – Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Samad yakin Pakatan Harapan (PH) dapat menangani kemelut kononnya akan berlaku kerajaan pintu belakang.
Beliau berkata, kalau kerajaan PH boleh mengawal dan menangani dengan berkesan wabak Covid-19, inikan pula “virus-virus” lain.
“Kalau Coronavirus sekalipun kita boleh kawal dan tangani dengan berkesan, saya yakin PH mampu tangani virus-virus yang lain,” katanya menerusi ciapan terbaharunya, pagi ini.
Khalid turut menyindir Ahli Parlimen Muafakat Nasional (MN) yang menggunakan nama Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam usaha mereka hendak membentuk kerajaan Pakatan Nasional (PN) malam tadi.
“Ada yang gunakan nama Tun Mahathirkah? Yang sedang didakwa, yang takut jatuh, yang sudah jatuh dan seperti mereka?
“Aduh, kalau Tun Mahathir tak ada di istana dan tak juga (tidak ada) di (hotel) Sheraton, kenapa dikaitkan dengan nama Tun (Mahathir)?
“Guna bangsa, guna agama dan sekarang ini guna nama Tun Mahathir? Tak guna punya geng,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tidak ada sebab Tun Dr. Mahathir memilih kerajaan pintu belakang.
Semalam, heboh kononnya Tun Dr. Mahathir akan mengumumkan pembentukan kerajaan baharu tanpa DAP, Amanah dan sebahagian besar Ahli Parlimen PKR.
Bagaimanapun, sehingga jam 12 tengah malam tadi, tidak ada sebarang pengumuman dibuat oleh Perdana Menteri, malah majlis yang diadakan di hotel di Petaling Jaya itu, hanya majlis makan malam melibatkan Ahli Parlimen dari blok pembangkang sahaja. – MalaysiaGazette
Sekarang, Mat Sabu atau Mamat ni yang jadi presien PAN? Atau dia dah jadi acting presiden ke apa?
Saje je nak tahu!