Tommy Thomas
Tommy Thomas

KUALA LUMPUR – Ketika ketidaktentuan politik tercetus tatkala Tun Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan, pelbagai pihak mula membuat andaian apa akan terjadi selepas ini.

Ini termasuk kemungkinan Jabatan Peguam Negara (AGC) akan mencadangkan ‘kerajaan sementara’ dibentuk dalam masa terdekat.

Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas ketika dihubungi Malaysiakini berkata, ketika ini beliau sedang menyiapkan butiran terperinci mengenai kerajaan sementara sehingga keputusan muktamad dikemukan.

“Ya, saya sedang sediakan kenyataan media. Berkenaan kandungan (kenyataan itu), sila tunggu,” kata beliau.

Dr. Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi meletak jawatan hari ini.

Terdapat desas desus daripada wakil rakyat bahawa mereka mempunyai Ahli Parlimen yang mencukupi untuk membentuk kerajaan bagi dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong bagi

Sekiranya tiada mana-mana pihak yang mempunyai majoriti terdapat kemungkinan pilihan raya umum diadakan.

Sumber MalaysiaGazette memberitahu, terdapat kemungkinan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dilantik menerajui kerajaan sehingga krisis ini selesai.

Terdahulu, PKR memecat Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin atas ‘pengkhianatan terbuka’ yang dilakukan mereka.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, dengan pemecatan itu, secara automatik jawatan Timbalan Presiden yang disandang Mohamed Azmin dan Zuraida sebagai Naib Presiden turut terlucut.

Menurutnya, ketetapan itu dibuat selepas mengambil kira peranan dua menteri itu sebagai ‘watak utama’ mencetuskan ketidakstabilan politik negara.

Sementara itu, 11 Ahli Parlimen PKR mengisytiharkan keluar parti itu dan PH bagi membentuk sebuah blok bebas di Parlimen.

Mereka adalah Mohamed Azmin Ali iaitu Ahli Parlimen Gombak, Zuraida (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamaruddin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Rashid Hasnon (Batu Pahat), Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat), Ali Biju (Saratok) ,Willie Mongin (Puncak Borneo) dan Jonathan Yasin (Ranau). – MalaysiaGazette

2 Komen

Comments are closed.