Bekas Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berjalan keluar selepas ahli parlimen Barisan Nasional dan PAS mengadakan perjumpaan tertutup di Restoran Riverside di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 24 FEBRUARI 2020.

KUALA LUMPUR – Riak wajah Datuk Seri Najib Razak yang penuh ceria selepas pertemuan tertutup antara pemimpin Barisan Basional (BN) dan Pas menimbulkan tanda-tanya tentang perkembangan terkini senario politik negara.

Namun bekas Perdana Menteri itu enggan memberi sebarang kenyataan sambil tersenyum kepada pihak media.

“Tiada kenyataan saya malam ini,” katanya yang sentiasa tersenyum ketika diserbu dan diasak soalan oleh pihak media malam ini.

Lebih 10 Ahli Parlimen BN dan Pas kelihatan mengadakan perjumpaan tertutup di Restoran Riverside di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam ini.

Selain Najib, perjumpaan yang bermula pukul 9 malam itu menyaksikan kehadiran pemimpin seperti Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut menyertai perjumpaan itu adalah Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Timbalan Presiden MIC, Datuk M Saravanan.

Pihak media yang sebelum itu berada di dalam restoran bagaimanapun diarahkan keluar sebelum perjumpaan bermula.

Sejurus berada di luar, pintu restoran ditutup serta-merta dan setiap individu yang masuk akan disoal oleh Polis Bantuan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast