Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim pulang dari Istana Negara tiba di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat, Petaling Jaya. foto AFIQ RAZALI, 24 FEBRUARI 2020.

PETALING JAYA – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak terlibat dalam gerakan gerombolan pengkhianat yang cuba menjatuhkan kerajaan Pakatan harapan (PH).

Beliau dimaklumkan perkara itu oleh Mahathir dalam pertemuannya di kediaman bekas Perdana Menteri itu di The Mines, Seri Kembangan pagi tadi.

Menurut beliau, dalam pertemuan yang turut dihadiri isterinya yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Kit Siang, Mahathir ada menyatakan akan meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, katanya, beliau ada menasihatkan bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar tidak berbuat demikian sebaliknya meneruskan menerajui pentadbiran kerajaan PH.

“Beliau (Mahathir) bertegas dengan keputusannya dan pada masa sama menzahirkan rasa kecewanya kerana cuba dikaitkan terlibat dengan gerombolan yang mahu merampas kuasa.

“Saya ada merayu pada beliau dan beri pengharapan kepadanya bahawa pengkhianatan yang berlaku ketika ini boleh ditangani bersama tetapi beliau kekal dengan keputusannya,” katanya kepada pemberita di ibupejabat PKR hari ini selepas kembalinya dari mengadap Yang di-Pertuan Agong kira-kira jam 2.30 petang tadi.

Ditanya, kenapa beliau baru mendedahkan hasil pertemuan itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, ketika itu Mahathir hanya menyatakan mahu meletak jawatan tetapi tidak secara rasmi.

Mengenai situasi yang dianggap masih kalut berikutan peletakan jawatan Mahathir, Anwar menggesa kepada penyokong PKR dan rakyat Malaysia khususnya agar bertenang.

“Semua penyokong PKR diminta bertenang dan memberikan kepercayaan kepada kebijaksanaan pimpinan untuk mengemudi parti dalam mengatasi masalah ini,” katanya. – MalaysiaGazette